Kabinet Baru Ismail Sabri: Pasukan Pengurusan Bebaskan Malaysia Daripada Pandemik

TERKINI
August 27, 2021 - 03:29 PM


Perdana Menteri Malaysia ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru saja mengumumkan barisan kabinet Menteri yang baharu pagi tadi, kalau korang masih belum tahu, boleh baca di sini

Menurut beliau, barisan Kabinet yang dibentuk adalah pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat dan Kabinet itu perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

Umum mengetahui bahawa beliau menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya, justeru, pembentukan Kabinet tersebut adalah satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

Ismail mengakui bahawa negara sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.

Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masyarakat akan hidup bersama Covid-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal serta menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Jelasnya, dunia mencatatkan kemunculan varian yang membimbangkan (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19.

Oleh itu, kata Perdana Menteri, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus Covid-19 dan perlu terus mengawal segala risiko wabak itu serta mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.