Lepas Phuket, Kini Giliran 3 Lagi Pulau Peranginan Thailand Dibuka!

TRAVEL
July 07, 2021 - 07:38 PM


Seminggu selepas Phuket membuka pintu sempadannya kepada pelancong asing menerusi 'Phuket Sandbox' bermula 1 Julai lalu -- kini giliran 3 lagi pulau peranginan popular di Surat Thani, selatan Thailand iaitu KOH SAMUI, KOH PHANGAN dan KOH TAO mengikut jejak sama di bawah 'Samui Plus'!

Ketiga-tiga pulau berkenaan kini dikatakan sedang sibuk membuat persiapan untuk menyambut pelancong antarabangsa yang telah lengkap divaksin mulai 15 Julai ini.

'Samui Plus' bakal menyaksikan pelancong asing dari negara berisiko rendah dan sederhana dibenarkan mengunjungi pulau-pulau berkenaan tanpa menjalani kuarantin 14 hari di hotel.

Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan permohonan Sijil Kebenaran Masuk (CoE) untuk 'Samui Plus' dijadual dibuka minggu ini.

Dijangkakan sekurang-kurangnya 1,000 pelancong asing dijangka tiba ke kepulauan itu yang mana bakal  menjana sekitar 100 juta baht (RM12.88 juta) untuk 30 hari pertama pembukaan semula.

Ketibaan pelancong di bawah 'Samui Plus' dijangkakan adalah lebih sedikit kerana program ini mempunyai lebih banyak sekatan.

Bagaimanapun, pulau-pulau itu akan menarik kumpulan pelancong tertentu yang sememangnya suka mengunjungi Koh Samui, untuk merasai pengalaman kesihatan dan kesejahteraan atau mereka yang ingin belajar menyelam.

Di bawah inisiatif 'Samui Plus', pelancong asing yang sudah divaksin dari negara berisiko rendah dan sederhana dikecualikan menjalani kuarantin tetapi harus tinggal di pulau terbabit selama 14 hari sebelum meneruskan perjalanan ke wilayah lain di negara ini.

Pelancong asing mesti memohon CoE dan membeli insurans perubatan yang merangkumi rawatan COVID-19 dengan kos sehingga AS$100,000 (RM416,152) serta negatif ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Selain itu, pelancong asing hendaklah divaksin sepenuhnya dengan vaksin diiktiraf Kementerian Kesihatan Awam Thailand atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak kurang dari 14 hari sebelum tarikh perjalanan.

Pelancong juga mesti menempah dan membayar penginapan hotel di Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan.

Bagi pengunjung yang tiba di Koh Samui, setelah disahkan negatif Covid-19, mereka mesti berada di bilik hotel selama tiga hari pertama, dan hanya dibenarkan meninggalkan bilik untuk ke kawasan yang dibenarkan.

Hari ke empat hingga tujuh, pelancong boleh melakukan perjalanan mengikut atur cara program lawatan di Koh Samui sahaja.

Pada hari kelapan hingga ke-14 boleh berjalan-jalan di Koh Samui, Koh Phangan dan Koh Tao.

Sekiranya disahkan negatif pada hari ke-15, barulah mereka boleh melancong ke wilayah lain di Thailand.

Sumber: BERNAMA

Baca Juga: Seronoknya..Phuket Dah Mula Sambut Pelancong Asing Untuk Bercuti!

Destination: