Pengguna Vape Berisiko Sehingga 7 Kali Ganda Dijangkiti Covid-19

GAYA HIDUP
August 17, 2021 - 08:46 PM


Seperti yang kita tahu, wabak Covid-19 mudah untuk menyerang serta menggagalkan fungsi paru-paru manusia hingga boleh menyebabkan kematian.

Oleh itu, jika anda golongan muda dan dewasa yang gemar menggunakan vape atau rokok elektronik -- anda sebenarnya lebih berisiko antara 5 hingga 7 kali ganda untuk mendapat jangkitan wabak tersebut.

Menurut kajian Fakulti Perubatan Universiti Stanford, Amerika Syarikat, golongan ini lebih mudah terjangkiti berbanding mereka yang tidak menggunakan vape kerana mereka sedang merosakkan paru-paru sendiri.

“Remaja mungkin berasakan usia mereka yang muda adalah lebih kebal daripada dijangkiti COVID-19 atau sebarang gejala, namun data ini menunjukkan ia adalah tidak benar.

"Kajian ini secara jelas memaklumkan kita bahawa anak-anak muda yang menggunakan vape atau menggunakan (e-rokok dan rokok) adalah dua kali ganda berisiko tinggi, dan itu bukan hanya peningkatan risiko yang kecil, itu besar," jelas penulis utama kajian itu, Dr Shivani Mathur Gaiha.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Adolescent Health itu adalah yang pertama untuk mengkaji hubungan antara golongan muda dan virus COVID-19 dengan merujuk kepada populasi di AS.

Remaja yang pernah menggunakan rokok dan e-rokok dalam 30 hari sebelumnya hampir lima kali ganda lebih berpeluang mengalami gejala COVID-19 -- seperti batuk, demam, keletihan dan kesukaran bernafas berbanding mereka yang tidak pernah merokok atau menggunakan vape.

Selain memberi amaran kepada remaja dan dewasa tentang risiko menggunakan vape, para penyelidik berharap kajian mereka itu akan mendorong Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS untuk memperketatkan lagi peraturan terhadap penjualan vape kepada golongan muda.

Sumber: Astro Awani

Destination: