Hadkan Aktiviti Sebelah Petang Kerana Ribut Petir & Hujan - MetMalaysia
TERKINIMeskipun ketika ini Malaysia sedang menerima tiupun angin dari pelbagai hala yang mengakibatkan cuaca lebih lembap dan berlaku penumpuan angin terutama di sekitar Semenanjung -- namun masih belum ada keperluan untuk amaran cuaca waspada dikeluarkan dalam tempoh terdekat ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan tersebut dijangka berterusan dalam tempoh seminggu atau pada awal September, selain beberapa kawasan menerima taburan hujan yang melebihi kebiasaan.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata corak seperti itu dijangka akan berterusan untuk beberapa hari akan datang manakala di negeri-negeri Pantai Barat -- ribut petir dan hujan berlaku pada waktu petang dan boleh membawa sehingga waktu malam.
"Begitu juga kalau di negeri-negeri pantai timur terutama sekali kawasan di pedalaman negeri-negeri juga boleh terjejas dengan ribut petir dan hujan.
"Sabah dan Sarawak pun kebanyakan kawasan kita menjangkakan keadaan cuaca yang sedimikian. Cuaca di Malaysia pada amnya lembap, jadi negeri-negeri yang terjejas dengan kejadian banjir juga akan mengalami tempiasnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Jelas Muhamad Helmi, keadaan lembap tersebut disebabkan intensiti monsun barat daya yang ketika ini berada pada tahap lemah.
Mengenai lokasi-lokasi berisiko pula, beliau berkata MetMalaysia bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat dalam menyalurkan maklumat mengenai ramalan cuaca termasuk amaran hujan lebat.
"Jadi maklumat itu digunapakai oleh agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi-agensi lain. Kita sedia maklum bahawa pengurusan bencana dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.
Sehubungan itu, Muhamad Helmi berkata MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan menghadkan aktiviti luar pada sebelah petang.
Maklumat mengenai ramalan cuaca boleh didapati di laman sesawang dan Twitter MetMalaysia, atau hubungi talian 1-300-22-1638.
Sumber: Astro Awani