Oktober Ini Malaysia Dijangka Masuk Fasa Endemik. Tapi Korang Tahu Apa Itu Endemik?

GAYA HIDUP
September 02, 2021 - 02:48 PM


Dalam tempoh sebulan sahaja lagi -- Malaysia dijangka memasuki fasa Endemik Covid-19  selaras dengan sasaran kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di negara ini mendapat vaksin pada Oktober ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata masyarakat perlu menerima hakikat bahawa adalah normal untuk kita 'hidup' bersama virus tersebut meskipun negara berjaya mengawal pandemik Covid-19.

Walaupun negara memasuki fasa Endemik, rakyat masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan melakukan kawalan kendiri kerana langkah itu akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibuka manakala kehidupan rakyat berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu.

Malah, Kerajaan juga dijangka akan mengumumkan beberapa langkah untuk memudahkan SOP sedia ada supaya tidak terlalu banyak, rumit serta jelas -- supaya rakyat dapat mengamalkannya apabila negara memasuki fasa endemik.

Tapi korang tahu tak apa yang dimaksudkan dengan Endemik? Dan apa beza antara Pandemik, Epidemik serta Endemik?

Endemik sebenarnya merujuk kepada kejadian kes penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu pada kadar rendah dan stabil.

Di Malaysia, contoh penyakit endemik ialah demam denggi.

Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi sebuah perkongsian dalam Facebook rasminya ada menjelaskan perbezaan antara ketiga-tiga fasa tersebut menerusi sebuah poster seperti di bawah ini:

Ini pula adalah jangkaan yang bakal berlaku ketika negara memasuki fasa Endemik Oktober nanti :-

1) Senarai SOP yang lebih mudah, jelas dan kurang merumitkan.

2) Pemakaian wajib pelitup muka akan diteruskan.

- Kita sudah melihat pengalaman di negara lain yang menyaksikan mereka telah melonggarkan pemakaian wajib pelitup muka mereka namun dengan adanya varian baharu, mereka terpaksa memperkenalkan semula pemakaian wajib pelitup muka mereka. Di Malaysia, kita akan mengamalkan pendekatan yang berhati-hati dan kita kekal dengan pemakaian pelitup muka.

3) Kementerian Kesihatan akan meneruskan amalan kuarantin kendiri di rumah dan turut menasihati mereka yang diperintah menjalani kuarantin di rumah agar sentiasa peka dengan perkembangan kesihatan sendiri.

- Sekiranya dikesan positif Covid-19, kekal di rumah melainkan perlukan rawatan perubatan kecemasan.

4) Pelbagai sektor dalam negara akan kembali dibuka.

5) Kehidupan rakyat berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu.

Sumber: Bernama

Destination: