Negara Yang Memerlukan 5 Hari Bekerja Untuk Mendapatkan Iphone 13 Pro

PILIHAN EDITOR
October 04, 2021 - 11:33 AM


Pada 14 September lalu, Apple telah mengumumkan telefon pintar keluaran baharu iaitu iPhone 13 yang bakal hadir dengan beberapa versi seperti iPhone 13, iPhone 13 mini, iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max. IPhone 13 Pro akan dijual dengan harga bermula RM4,899 dan boleh di tempah seawal 1 Oktober ini.

Menurut laman web Picodi, sebuah laman e-dagang yang menawarkan tawaran kupon, rakyat Malaysia perlu bekerja selama 30.3 hari untuk membeli sebuah iPhone 13 Pro. Namun, kiraan ini dibuat dengan anggapan jika kesemua gaji korang digunakan hanya untuk membeli telefon itu sahaja.

Data ini dikeluarkan mengikut laporan dari Numbeo, yang melaporkan purata gaji di Malaysia adalah RM3,399.17. Sebagai perbandingan, nilai purata gaji di Malaysia ini adalah lebih rendah berbanding dengan harga sebuah iPhone 13 Pro.

Laporan ini turut menunjukkan perbandingan Indeks iPhone beberapa tahun lalu, dan Malaysia menunjukkan pengurangan hari bekerja yang diperlukan.

Berikut adalah data yang dinyatakan:

– 2018: 41.3 hari
– 2019: 31.1 hari
– 2020: 29.1 hari
– 2021: 30.3 hari

Tentu ramai antara korang yang kurang faham apa itu indeks iphone, buat yang kurang faham indeks iPhone adalah nisbah harga iPhone dengan purata gaji tahunan yang dilakukan oleh laman web Picodi semenjak dari 2018 lagi. Indeks iPhone 2021 telah dikira berdasarkan harga iPhone 13 Pro (128 GB) yang diumumkan secara umum di laman web Apple yang sah. Manakala, purata gaji diambil dari halaman rasmi kementerian atau pejabat statistik. Gaji bulanan pula dibahagi dengan 21 hari, jumlah purata hari bekerja dalam sebulan.

Meskipun rakyat Malaysia memerlukan 30.3 hari untuk membeli sebuah iPhone 13 Pro, terdapat beberapa negara lain yang memerlukan lebih banyak hari bekerja. Sebagai contoh, Turki mendahului carta apabila rakyat mereka perlu bekerja selama 92.5 hari untuk mendapatkan sebuah iPhone 13 Pro. Negara jiran kita, Thailand pula memerlukan 43 hari.

Menurut data yang dikeluarkan, Switzerland mendahului carta sebagai negara yang hanya memerlukan sedikit hari bekerja untuk membeli iPhone 13 Pro, iaitu dengan jumlah 4.4 hari. Negara jiran kita, Singapura pula hanya memerlukan 7.6 hari. Hampir lima kali ganda lebih rendah berbanding Malaysia.

 

 

Destination: