Tiba-tiba Terima OTP Dari Mysejahtera? Ini Penjelasan Dari Pasukan Mysejahtera

GAYA HIDUP
October 20, 2021 - 11:44 AM


Pasukan MySejahtera telah menyiasat dakwaan mengenai perbuatan manipulasi terhadap ciri pendaftaran QR aplikasi berkenaan khusus untuk premis perniagaan.

Pasukan MySejahtera pada malam Isnin berkata, mereka telah menerima aduan melalui helpdesk dan saluran media sosial berhubung OTP untuk mengesahkan nombor telefon mereka melalui pendaftaran masuk QR khusus untuk premis perniagaan

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan mendapati pihak tidak bertanggungjawab telah menyalahguna ciri berkenaan melalui penggunaan ‘malicious script’ dan menyebabkan aplikasi itu menghantar ‘One-Time Password' (OTP) terhadap telefon pengguna.

“Kami ingin meyakinkan pengguna bahawa tiada data peribadi yang boleh diakses melalui penggunaan skrip tersebut, tetapi beberapa nombor telefon telah digunakan secara rawak untuk penghantaran OTP berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Susulan itu, Mysejahtera memohon maaf kepada semua pengguna aplikasi yang terlibat, dan akan terus melakukan siasatan, di samping memberi perincian dalam masa terdekat.

Pada Isnin, beberapa pengguna aplikasi membuat aduan mengatakan menerima SMS dari 68088, kod pendek dari MySejahtera, antara pukul 12 tengah malam Ahad, hingga awal pagi Isnin, meminta pengguna mengesahkan akaun mereka melalui OTP.

Destination: