Varian Covid-19 Terbaru Yang Lebih Berbahaya Ditemui Di Africa
TERKINITerdapat varian Covid-19 terbaru yang dikenal pasti merebak di Afrika Selatan sehingga menyebabkan agensi keselamatan dan kesihatan United Kingdom (UK) berasa bimbang. Hal ini terjadi kerana dikatakan varian tersebut berpotensi untuk menyebabkan vaksin menjadi kurang efektif.
Negara Britain bertindak mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengumumkan akan menyekat penerbangan dari Afrika Selatan dan lima negara lain secara sementara mulai 12 tengah hari Jumaat. Warganegara Britain yang pulang dari negara-negara tersebut pula diwajibkan untuk mengkuarantinkan diri.
Menurut Sajid Javid selaku Setiausaha Kesihatan, varian yang digelar B.1.1.529 itu mempunyai lonjakan protein yang jauh berbeza berbanding virus Corona sebelum ini. Varian terbaru ini dikatakan lebih mudah berjangkit berbanding varian-varian lain dan ia mempunyai daya mutasi untuk mengelak dari tindak balas imun yang dijana oleh jangkitan dan vaksinasi terdahulu.
Varian terbaru tersebut dikatakan dua kali ganda lebih besar mutasinya dari yang telah kita lihat dalam varian Delta. Kajian makmal masih lagi dijalankan dan ini memakan sedikit masa untuk mengetahui lebih maklumat tentang varian tersebut. Selain Afrika Selatan, varian ini juga ditemui di Botswana dan Hong Kong. Namun, masih belum ada kes yang dikesan di UK.