Sebab Kos Sebenar Pelekat RFID Tak Sampai RM1, Betul Ke Harganya Akan Diturunkan?
TERKINISejak Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) mula dilaksanakan di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada 15 Januari lalu, semakin banyak aduan kelemahan yang diutarakan para pengguna.
Malahan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut membangkitkan persoalan mengenai harga tag teknologi RFID yang dijual Touch ‘n Go (TnG) pada harga RM35.
Menerusi posting Najib Razak di Facebook, ujarnya kos pelekat RFID pasif lazimnya dijual pada harga bawah RM1 sekeping.
“Kos sticker RFID pasif biasanya bawah RM1 sekeping. Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?”
“Dan adakah syarikat Touch ‘n Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik SmartTAG yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?”
Melihat isu yang timbul, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersedia mengadakan pertemuan dengan PLUS dan Touch ‘n Go untuk membincangkan pengurangan harga pelekat RFID.
Memetik sumber FMT, kerajaan sedang berusaha meredakan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan mengenai kualiti pelekat terbabit dan berkongsi pengalaman menggunakan sistem itu di media sosial.
Ada yang mendakwa pelekat itu mudah rosak apabila kerap dibasuh dan tidak kurang juga yang memaklumkan ia tidak efisien kerana tidak dapat berkongsi dengan kenderaan lain selepas ditampal.
Dalam pada itu, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof memberitahu Touch ‘n Go dan PLUS supaya mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah yang timbul akibat penggunaan sistem pembayaran RFID.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelaksanaan RFID Gagal? Beratur Kereta Sesak Di Tol!