Omicron Bakal Mengakhiri Pandemik Covid-19 Di Eropah
TERKINIVarian Omicron merupakan varian terbaru yang ditemui pada beberapa bulan lepas dijangka akan mengakhiri jangkitan virus maut di benua eropah tidak lama lagi.
Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge berkata, Eropah kini ‘dalam perjalanan untuk mengakhiri pandemik’ apabila Omicron dijangka menjangkiti kira-kira 60 peratus penduduk di benua ini menjelang Mac depan.
Katanya, sebaik sahaja penularan Omicron di seluruh Eropah reda, akan terbentuk ‘imuniti global sama ada daripada suntikan vaksin atau mereka yang memperoleh uminiti selepas dijangkiti Covid-19’.
“Keadaan itu sekali gus menurunkan risiko jangkitan dan akhirnya boleh mengakhiri pandemik.
“Kami menjangkakan akan ada tempoh ‘tenang’ sebelum Covid-19 menular semua menjelang akhir tahun ini, namun tidak semestinya wabak itu kembali,” katanya.
Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci turut menzahirkan pandangan yang sama apabila menyatakan trend jangkitan di negara itu ketika ini semakin menurun dan keadaan mungkin menjadi lebih baik.
Jelas beliau, sekiranya kes jangkitan di bahagian timur laut AS terus menurun, kesan positif akan dapat dilihat di seluruh negara dalam tempoh terdekat.
Selain itu, pejabat WHO di Afrika juga melaporkan jumlah kes jangkitan di benua itu semakin menurun, termasuk kes kematian sejak Omicron menular.
Dalam pada itu, Kluge berharap pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini dapat dikawal seperti musim selsema yang biasa dihadapi masyarakat dunia sebelum ini.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan akan timbul beberapa lagi varian baharu selepas ini.
Sumber: Utusan