Wow, Facebook Pun Dah Lancar 'FB Reels' Jana Pendapatan Di Media Sosial!

GAYA HIDUP
February 25, 2022 - 01:38 PM


Akhirnya Facebook memperluaskan ketersediaan Facebook Reels untuk iOS dan Anroid ke lebih 150 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia!

Laman sosial popular itu juga turut memperkenalkan cara lebih baik untuk membantu pencipta memperoleh pendapatan menerusi ciri terbaharu itu selain alat penciptaan terkini untuk menghasilkan video menarik.

Apa yang menarik mengenai Facebook Reels? Mark Zuckerberg dalam kenyataannya memberitahu ciri terbaru itu membolehkan pengguna mencipta kandungan video termasuklah :

1. MENGADUN SEMULA (REMIX) - Cipta Reels anda sendiri bersama Reels sedia ada yang dikongsi secara terbuka di Facebook. Semasa membuat Remix, pengguna boleh mencipta Reels yang mengandungi semua atau sebahagian daripadanya.

2. REELS 60 SAAT - Reels membolehkan pengguna menghasilkan video dengan durasi 60 saat.

3. DRAF - Tidak lama lagi, pengguna dapat mencipta Reels dan memilih untuk simpan sebagai draf di bawah butang simpan sebelum memutuskan untuk menyiarkannya.

4. SUNTINGAN VIDEO - Dalam beberapa bulan akan datang, Facebook merancang untuk melancarkan alat klip video yang akan memudahkan pencipta menerbitkan video rakaman secara langsung atau dalam durasi lebih panjang dalam usaha menguji format berbeza.

Selain itu, terdapat juga kemas kini yang memudahkan pengguna mencipta dan menemukan Reels di tempat baru, termasuklah :

A. REELS DALAM STORY - Kongsi Reels anda ke bahagian Story di Facebook sebagai cara lain untuk memaksimumkan capaian kandungan. Anda juga boleh mencipta Reels daripada cerita awam sedia ada.

B. REELS DALAM TONTON - Pengguna akan dapat menonton dan mencipta Reels terus dalam tab Tonton.

C. BAHAGIAN ATAS FEED - Facebook akan menambah label Reels baru di bahagian atas Feed supaya anda boleh mencipta gulungan dengan mudah dengan beberapa klik sahaja.

D. CADANGAN DALAM FEED - Laman sosial popular itu juga mencadangkan Reels yang mungkin anda sukai pada Feed anda, terutamanya daripada pencipta baru.

Pengguna boleh menemukan Reels Facebook dalam Feed, Kumpulan dan Tonton. Semasa menonton Reels, anda boleh mengikuti pencipta terus daripada video, suka dan memberi komen pada video atau berkongsi dengan rakan.

Mark berkata, kemunculan ciri terbaru Facebook itu juga bukan sekadar untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna sebaliknya ia juga adalah peluang untuk pencipta memperoleh pendapatan menerusi video Reels dihasilkan.

Jelas Mark, program bonus Reels Play yang diperkenalkan adalah sebahagian daripada pelaburan pencipta sebanyak AS$1 bilion (RM4 bilion) dan pihaknya akan membayar pencipta kandungan yang layak sehingga AS$35,000 (RM147,000) sebulan berdasarkan jumlah tontonan.

"Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan mengembangkan program bonus ini ke lebih banyak negara, jadi lebih ramai pencipta boleh mendapat ganjaran kerana mencipta Reels yang disukai oleh komuniti," katanya.

Ketika ini jelasnya, Facebook sedang menguji Facebook Reels Overlay Ads kepada semua pencipta di Amerika, Kanada dan Mexico serta lebih banyak negara dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Facebook tampil dengan dua format iaitu iklan sepanduk yang muncul sebagai separa tindanan di bahagian bawah Reels dan iklan pelekat; imej statik.

Iklan pelekat ini boleh diletakkan oleh pencipta kandungan di mana-mana sahaja dalam video mereka. Iklan tanpa gangguan ini membolehkan pencipta memperoleh sebahagian daripada hasil iklan.

Sumber: Mstar

Destination: