"Kali Terakhir Telefon Bimbit Aktif Pada 20 November" Zalina Azman Mungkin Hilang Lebih Awal
GAYA HIDUPKali terakhir telefon bimbit bekas pembaca berita TV3, Zalina Shaharah Azman atau dikenali sebagai Zalina Azman, dikesan aktif adalah pada 20 November tahun lalu, empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan kepada wanita itu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata menerusi semakan dan siasatan dibuat, pihak polis berpendapat berkemungkinan Zalina hilang lebih awal daripada tarikh yang dilaporkan.
"Kalau anaknya tidak cuba telefon, kita pun tidak tahu dia hilang. Berkemungkinan Zalina telah hilang lebih awal, tapi tidaklah awal sangat sebab kita sudah semak dan pada 20 November didapati telefonnya telah dimatikan (tiada rekod panggilan keluar atau masuk).
"Sama ada kerana sudah habis bateri itu kita tidak dapat pastikan," katanya ketika melakukan lawatan ke rumah wanita berusia 58 tahun itu bersama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi.
Mohd Iqbal berkata, keadaan rumah Zalina Shaharah yang didapati tidak tersusun adalah disebabkan kediaman itu sedang dalam proses pengubahsuaian untuk menjadi sebuah galeri.
Sementara itu, dalam kenyataan beliau berkata, polis kini sedang mengesan pekerja yang pernah melakukan kerja pengubahsuaian bagi membantu siasatan kes kehilangan bekas personaliti televisyen itu.