Lorong Seni@Lorong Panglima Tarikan Baharu Pengunjung Ke Ipoh, Perak
TRAVELSetiap kali hujung minggu atau cuti sekolah pasti ramai yang suka berkunjung ke Ipoh, Perak untuk jalan-jalan cari makan atau melakukan weekend getaway, memandangkan bandaraya itu sememangnya 'syurga makanan' popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
Pelancaran Lorong Seni@Lorong Panglima di Ipoh sebenarnya merupakan kesinambungan kepada Lorong Concubine yang sememangnya sudah dikenali ramai dan sarat dengan kisah sejarah Ipoh.
Bukan sahaja meriah dengan barisan peniaga dan produk jualan -- lorong ini turut mengetengahkan pameran kraftangan termasuk peralatan muzik pelbagai kaum.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed berkata ia selaras dengan penjenamaan semula bandar raya Ipoh sebagai bandar seni.
Antara aktiviti yang diketengahkan adalah pameran, jualan produk seni, kraftangan traditional dan moden termasuk peralatan muzik dari pelbagai kaum serta persembahan buskers.
Selain itu, installation art hasil karya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar serta pemasangan papan tanda Lorong Seni@Lorong Panglima, Ipoh turut menjadi tarikan utama pelancong ke Lorong Seni tersebut.
Lorong Seni@Lorong Panglima itu diwujudkan bagi menarik lebih ramai pengunjung dan memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menonjolkan bakat seni dan kraftangan.
Bagi memberi lebih keselesaan dan menjamin keselematan pengunjung, lorong tersebut telah diwartakan sebagai laluan pejalan kaki.
Selain itu, satu sesi penyertaan awam diadakan pada 13 Jun lalu untuk memaklumkan pemilik-pemilik premis di Lorong Panglima mengenai aktiviti yang akan dilaksanakan di situ.
Kesemua jemputan yang hadir bersetuju dengan cadangan Lorong Seni tersebut, ia akan beroperasi pada setiap Sabtu mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.
Sementara itu, pemilihan peniaga di situ adalah melalui persatuan seni dan kraftangan, serta yang berdaftar di bawah MBI.
Bagi yang berminat boleh mohon dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk berniaga di sini, mengikut kesesuaian.
Buat masa ini terdapat 10 peniaga yang berniaga di situ dan jika mendapat sambutan ruang perniagaan akan ditambah mengikut kesesuaian.
Sumber: Astro Awani