Wow, Laju Betul Azeem Fahmi Pecah Rekod 100M Hanya 10.09 Saat! Jom Kenali Siapa 'Remaja Terpantas Ke-4 Asia' Ini!

GAYA HIDUP
August 02, 2022 - 12:52 PM


Ketika ini selain sedang rancak berlangsung acara di Sukan Komanwel Birmingham 2022, atlet olahraga negara juga sedang 'berjuang' di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Cali, Colombia.

Lebih manis ada rekod kebangsaan yang telah dileburkan di kejohanan tersebut apabila bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mencipta sensasi dengan mempamerkan larian yang laju 'luar biasa' iaitu dalam acara 100 meter hanya dalam tempoh 10.09 saat.

Rekod larian pecut dilakukan Muhammad Azeem dalam saingan saringan lapan itu menyaksikan beliau muncul pelari pertama melintas garisan penamat dengan mengejutkan atlet Jepun berusia 19 tahun, Hiroki Yanagita di tempat kedua dengan masa 10.24s.

Muhammad Azeem dan Yanagita masing-masing mengesahkan tempat ke separuh akhir yang dijadual berlangsung awal pagi esok.

Nampaknya negara bakal memiliki jaguh pecut pelapis yang baharu. Jom kita kenali lebih dekat siapa pelari pecut yang membanggakan Malaysia ini dan rekod cemerlangnya:-

- Muhammad Azeem Fahmi lahir pada 29 April 2004.

- Pelari itu kini berusia 18 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak.

- Ranking Muhammad Azeem sebagai remaja terpantas dunia adalah di kedudukan 30 dan ke-4 terpantas di Asia.

- Catatan direkodkan Azeem itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

- Lebih menarik, catatan berkenaan adalah yang kedua terpantas daripada semua lapan saringan yang berlangsung dengan Azeem berada di belakang atlet Botswana, Letsile Tebogo yang mencipta rekod baharu kejohanan dengan catatan 10.00s.

- Muhammad Azeem sebelum ini turun ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20 dengan reputasi sebagai remaja keempat terpantas Asia masing-masing dalam 100m dan 200m berdasarkan catatan masa sehingga Julai lalu.

- Muhammad Azeem turut akan mengambil bahagian dalam 200m di Cali dengan acara itu dijadual bermula 3 Ogos (4 Ogos Malaysia).

P/S: Jom sama-sama kita doakan kejayaan buat bintang pecut pelapis ini dan seluruh kontinjen Malaysia di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia dan Sukan Komanwel.

 

Destination: