Kongsi Pengalaman 'Renew' Pasport & Lelaki Ini Juga Beri 'Tips' Dapat Pasport 40 Minit Lepas Lulus
GAYA HIDUPSeperti yang kita sedia maklum sekarang untuk urusan memperbaharui pasport perlu membuat permohonan hanya secara online atau dalam talian menerusi MyOnline Pasport dan tiada lagi kaedah walk-in dibenarkan!
Bagi walk-in hanya permohonan buat kali pertama, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), termasuk kes pasport hilang atau rosak sahaja yang dibenarkan.
Selain itu, kategori yang dibenarkan untuk walk-in juga adalah permohonan pelanjutan kanak-kanak 13 tahun ke bawah, pelajar berumur 21 tahun dan ke bawah menyambung pelajaran peringkat ijazah di luar negara dan jemaah haji.
Baru-baru ini, seorang pemohon berkongsi pengalamannya memperbaharui pasport secara dalam talian yang siap dalam tempoh 40 minit selepas mendapat kelulusan.
"Pengalaman renew pasport pasca PKP ni. Good thing... pantas, lepas lulus, 40 minit siap. Bad thing... komunikasi dan penyebaran maklumat.
"Sekarang kalau nak renew pasport, kena mohon online. Untuk yang celik IT sikit, it's not bad.
"Walaupun interface laman web tu nampak macam 2000s sikit, tapi apabila navigate tak sesat. That's good,” tulis Ahamad Emran menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Ahamad Emran, selepas membuat permohonan memperbaharui pasport dengan memuat naik gambar serta melakukan bayaran, dia menerima resit dalam bentuk pdf.
1) Download dan print resit ini. Pada resit ada beritahu kena bawa kad pengenalan atau surat beranak, pasport asal dan resit semasa pengambilan pasport.
2) Walaupun ada resit, pemohon tidak boleh pergi mengambil pasport di pejabat imigresen sesuka hati kerana perlu menunggu pengesahan menerusi emel.
3) Untuk saya pula, saya dapat emel mengatakan permohonan 'tangguh atau siasatan' kerana cap jari tidak sah. Jadi, saya pun pergi ke imigresen Shah Alam di PKNS.
4) Saya tunjuk emel mengatakan cap jari tak sah tu. Tapi saya tak dibenarkan masuk kerana tak bawa resit pembayaran.
5) Ingatkan saya pergi untuk bertanya fasal kenapa cap jari tak sah, bukan nak pergi ambil pasport. Tak ada pula dalam emel suruh bawa resit. Tak apa lah, saya pergi sahaja lain kali," katanya.
6) Ahamad Emran mendakwa, sebanyak 4 kali dia ke pejabat imigresen di Shah Alam.
7) Kali kedua pergi, sistem queue down. Staf yang jaga di pintu masuk kata boleh cuba datang lepas lunch atau petang, sebab mereka tutup 8 malam. Nak datang Sabtu pun boleh sebelum 11 pagi.
8) Kali ketiga datang, pukul 4 petang. Ditahan di pintu lagi, katanya nombor dah habis sejak pagi. Mereka tutup pukul 4.30 petang, seperti dalam resit, dan juga tunjukkan ada printed notis di pintu.
9) Apabila saya cakap, 'kali terakhir saya datang, mereka cakap tutup sampai malam?', Dia kata pula 'itu la, jangan dengar cakap orang'. Masa ni memang agak panas,” ujarnya.
Ahamad Emeran bagaimanapun berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh kakitangan imigresen.
10) Pagi tadi, kali keempat saya datang pukul 9 pagi. Alhamdulillah, pukul 10 pagi selesai permohonan. Pegawai kaunter cakap, 'mungkin masalah bukan pasal cap jari. Kadang-kadang kerana gambar'.
Bagi Ahamad Emran, proses pengambilan pasport adalah lebih mudah, sambil menambah pukul 10 pagi siap permohonan dan boleh mengambil pasport 40 minit kemudian.
"Terus pergi ke kaunter khas. Bagi nombor, kalau dah siap, hanya tandatangan di borang dan di pasport dan selesai," katanya.
Ahamad Emran turut menyenaraikan beberapa butiran sebagai rujukan bersama yang juga perlu diambil perhatian oleh orang awam dan Jabatan Imigresen:
1. Beritahu dengan jelas bila boleh datang berurusan. Kalau kena ambil nombor pagi dan terhad berapa nombor atau pelanggan dalam sehari, sila beritahu.
2. Beritahu dalam emel apa yang perlu dibawa oleh pemohon.
3. Kalau staf kena perjelas perkara yang sama kepada pelanggan-pelanggan berulang kali, maknanya memang ada masalah. Mesti ada maklumat yang tak sampai.
4. Mengenai isu kena cetak resit, tak semua berkemampuan untuk itu. Zaman sekarang ni, selalunya jika ada nombor rujukan sepatutnya sudah mencukupi.
Menurut Jabatan Imigresen, orang awam yang mahu membuat permohonan pembaharuan atau gantian PMA boleh melayari laman web mereka.
Pemohon mempunyai masalah cap jari boleh meneruskan bayaran dan hadir terus ke pejabat pemungut yang dipilih bagi pengambilan cap jari.
Kelulusan menerusi MyOnline Pasport boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari bekerja menerusi notifikasi yang dihantar kepada emel dan pemohon boleh hadir ke pejabat kutipan sekiranya tidak mendapat notifikasi selepas tempoh tersebut.
Waktu operasi bagi pejabat pasport dan kaunter Jabatan Imigresen di UTC boleh rujuk facebook Jabatan Imigresen.