Tipu Jemaah Umrah Sebanyak RM434,250, Lelaki Berusia 56 Tahun Dipenjara 10 Tahun

GAYA HIDUP
August 09, 2022 - 12:14 PM


Seorang pengarah urusan sebuah syarikat dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Majistret, hari ini selepas didapati bersalah menipu 202 individu, membabitkan kerugian RM434,250 pada 2015 sehingga 2016 lalu.

Hukuman itu ditetapkan Majistret Arif Mohamad Shariff terhadap tertuduh, Misbahalmunir Omar, 56, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah

.

Mengikut pertuduhan, Misbahalmunir yang ketika itu Pengarah Urusan Syarikat Raudhah Mawaddah Travel & Tours Sdn Bhd, didakwa melakukan penipuan terhadap Perunding dan Mutawwif Umrah, Amzari Halim.

Tertuduh dengan curang didakwa menipu Amzari yang bertindak sebagai perunding yang mengutip wang daripada 202 peserta berjumlah RM2,000 sehingga RM36, 600 untuk rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya bermula 2 November 2015 sehingga 28 Januari 2016 membabitkan 56 transaksi selama 23 hari.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat di Kedah, Johor dan Selangor.

Transaksi wang dilakukan di mesin deposit beberapa bank membabitkan akaun ahli keluarga, pekerja dan syarikat yang ditubuhkan dengan nama keluarga tertuduh kerana dia tidak memberitahu syarikatnya sudah gulung tikar kepada Amzari.

Pada 30 Januari 2015, Amzari membuat laporan polis selepas tertuduh didapati menipu semua peserta dengan menghantar itenari tiket penerbangan yang dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur didapati semua itenari tiket yang dibekalkan tertuduh tidak sah dan tidak wujud.

Difahamkan, kebanyakan mangsa penipuan tertuduh terdiri daripada pelajar tahfiz serta warga emas dan dua daripada mereka sudah meninggal dunia.

Destination: