Siap Siaga! Lebih 10 Juta Rakyat Malaysia Bakal Terkesan Dengan Banjir Kali Ini

TERKINI
September 29, 2022 - 06:06 PM


BERSEDIA! Itu yang boleh dikatakan apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan 10 juta rakyat Malaysia akan mengalami banjir hujung tahun ini sehingga awal tahun depan.

MetMalaysia juga mengeluarkan ramalan yang menyebut musim banjir mungkin bakal melanda bermula bulan November hingga Januari 2023.

Berdasarkan ramalan itu, MetMalaysia menyebut negeri-negeri yang bakal terjejas adalah seperti berikut:

  • Kelantan (1.8 juta orang)
  • Terengganu (1.2 juta orang)
  • Johor (4 juta orang)
  • Pahang (1.6 juta orang)
  • Sebahagian Sarawak (2.5 juta orang)

Kawasan tersebut akan terjejas oleh musim monsun atau musim tengkujuh dan berkemungkinan besar akan mengalami hujan lebat berterusan.

Selain itu, MetMalaysia juga menyebut negeri-negeri berikut mungkin akan turut dilanda banjir akibat perubahan cuaca;

  • Selangor
  • Kuala Lumpur
  • Bahagian utara Kedah

Sementara itu, bermula 3 Oktober depan -- Fasa Peralihan Monsun dijangka berlaku dan ia berterusan sehingga November 2022, menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 14 Mei lalu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) berkata, semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

”Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.

”Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya menerusi sebuah kenyataan. 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

 

Destination: