[VIDEO] Baru 8 Tahun, Kanak-Kanak Ini Miliki Bakat Luar Biasa Lukis Potret Bak Profesional
TERKINIWalaupun baru berusia lapan tahun, Dihya Muhammad Fateh Mohd Faridil Amir memiliki bakat luar biasa dalam menghasilkan potret dan animasi seperti pelukis profesional.
Kehebatan murid Tahun Dua yang mesra disapa Fateh itu telah menjadi tular selepas lukisan-lukisan potret yang dihasilkannya mendapat pujian warga maya berikutan perkongsian ibunya, Khairunisa Mamat yang memuat naik gambar dan video lukisan Fateh di TikTok.
MINAT MELUKIS SEJAK USIA 3 TAHUN
Khairunisa berkata Fateh minat melukis sejak dia berusia tiga tahun lagi, dengan menconteng dinding di rumah mereka dengan pelbagai jenis kartun terutama karakter Ultraman, dan beliau bersama suami membiarkan sahaja Fateh melukis di dinding kerana mahu anaknya tonjolkan kreativiti.
Katanya ketika Fateh berusia tiga hingga tujuh tahun, dia banyak melukis watak-watak kartun seperti Boboiboy, Ejen Ali, Naruto, Ultraman dan watak animasi, namun sejak Mac lepas dia mula berminat untuk melukis potret wajah.
"Selalunya Fateh tak akan beritahu orang yang dilukisnya, namun selepas siap melukis dia sendiri akan serahkan kepada pemilik wajah yang dipotret... ia macam satu kejutan kepada mereka, dan Fateh gembira apabila penerima itu tersenyum serta berterima kasih kepadanya," katanya.
BELAJAR MELUKIS DARIPADA YOUTUBE
Khairunisa berkata Fateh yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu banyak belajar melukis melalui tutorial di YouTube seperti Amamijan, Ali Haider serta Devon Rondriguez, dan dia mengambil masa 15 hingga 20 minit bagi menyiapkan sebuah potret atau gambar orang.
Katanya anaknya itu memang sentiasa membawa buku lukisan dan pensel khas untuk melukis potret serta tidak mengira tempat atau waktu untuk melukis, kerana dia memang sangat gembira setiap kali dapat menyiapkan lukisannya.
"Kadang-kadang kami keluar makan dan semasa di kedai atau restoran, Fateh akan melukis gambar potret yang dia mahukan... selalunya wajah pelanggan atau pekerja di kedai yang kami menjamu selera itu, dia lukiskan potret mereka.
"Ada sesetengah pihak beranggapan Fateh mahukan duit selepas menyerahkan gambar potret lukisan itu, namun sebenarnya Fateh tidak pernah mahukan wang sebaliknya dia mahu mereka gembira dengan gambar lukisannya," kata suri rumah itu.
SUKA MELUKIS DI TEMPAT AWAM
Bapa Fateh, Mohd Faridil Amir Shobri pula berkata tujuan bersama isteri berkongsi hasil seni anaknya semata-mata untuk mendokumentasi perjalanan minat si kecil itu, dan dalam masa sama berharap mereka boleh menerima kritikan dan sokongan secara terbuka daripada warga maya.
Walaupun pada mulanya agak bimbang bakal menerima kecaman kerana membiarkan anak melukis di tempat awam dan mengganggu privasi orang lain, namun setakat ini tindakan itu menerima pujian malah sokongan daripada netizen.
"Malah Fateh juga selalu membaca komen-komen yang ditinggalkan warga maya yang melihat video-video lukisannya di TikTok, dari situ dia juga akan dapat menambah baik lukisan potretnya dalam masa sama memberi semangat kepadanya untuk terus melukis," katanya.
CITA-CITA INGIN BERGELAR PELUKIS PROFESIONAL
Sementara itu Fateh berkata beliau memang bercita-cita mahu menjadi seorang pelukis profesional kerana minat mendalam dalam bidang berkenaan, malah berharap dapat mengikuti latihan melukis potret.
"Saya lukiskan potret wajah orang kerana mahu gembirakan mereka dan setiap kali melihat mereka tersenyum ketika terima menerima lukisan saya, itu buat saya seronok.
"Ada yang bagi duit selepas terima gambar potret, saya cakap terima kasih dan beritahu lukisan itu percuma kerana minat saya untuk melukis," katanya.
@dihyart15 Fateh kembali beraksi melukis di kedai makan 🤩🥳 #fatehlukis #kidsdrawing #anakmelukis #lukisanwajah #foryou ♬ original sound - fatehlukis15
Sumber: BERNAMA & TikTok dihyart15