Masjid Tanah 'Mini Amazon Melaka'

TRAVEL
October 07, 2022 - 12:22 PM


"Kecil-kecil cili padi" -- itu peribahasa paling tepat menggambarkan negeri Melaka yang terkenal sebagai destinasi pelancongan popular di Malaysia!

Meskipun dalam peta negara, Melaka hanya bersaiz kecil namun sebagai negeri bersejarah ia lokasi pelancongan menarik untuk dilawati kerana memiliki kekayaan seni bina warisan berusia ratusan tahun serta keindahan panorama semulajadi yang cukup menenangkan jiwa.

Tetapi jika sebut tentang bercuti ke Melaka, mungkin tidak ramai yang akan memilih Masjid Tanah memandangkan mereka kurang diberi pendedahan mengenai keistimewaan yang ada di daerah ke-4 Melaka itu.

KAMPUNG PAYA LEBAR - 'MINI AMAZON MELAKA'

Namun sebenarnya Masjid Tanah memiliki sebuah tarikan eko-pelancongan yang tidak keterlaluan jika diberi jolokan sebagai "Mini Amazon Melaka" iaitu Kampung Paya Lebar!

Jika berkunjung ke Kampung Paya Lebar, jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menelusuri sungai dengan 'river cruise' sepanjang 5 kilometer. 

River cruise yang boleh dinaiki dari Jeti Pengkalan Nelayan Paya Lebar menjanjikan pengalaman luar biasa kepada anda yang teruja dengan alam semulajadi kerana dapat menikmati panorama hutan paya bakau di kiri dan kanan bot.

River cruise yang mengambil masa antara 2 hingga 3 jam itu tidak akan membosankan sama sekali apabila ada haiwan-haiwan liar seperti buaya, ular, monyet dan burung menemani perjalanan anda.

Sepanjang menelusuri sungai di Paya Lebar itu jangan risau jika anda kerap terserempak dengan buaya atau anak-anak buaya di kiri dan kanan paya bakau tersebut kerana haiwan reptilia itu tidak mengganggu manusia memandangkan diet makanan mereka adalah hidupan di dalam air atau binatang lainnya.

Sepanjang sungai juga anda akan terserempak dengan bot-bot pemancing dan nelayan yang memancing ikan serta udang galah di bawah pokok bakau yang ada di situ.

SABAK ARANG - 'IGLU' PEMBUATAN ARANG KAYU TERBAIK DI ASIA

Selepas perjalanan hampir 20 minit dari jeti, anda akan tiba di Sabak Arang iaitu tempat pembuatan arang secara tradisional dan diusahakan oleh Md Derus Maluddin.

Sabak Arang ini dipercayai telah berusia lebih dari 100 tahun dan masih mengekalkan tradisi membuat kayu arang memandangkan permintaan daripada pemborong adalah tinggi dan mereka menyifatkan arang kayu Masjid Tanah ini adalah yang "terbaik dari segi kualiti di Asia"!

Sebaik masuk ke Sabak Arang, anda akan melihat dua buah relau tradisional yang dipanggil gok dan  berbentuk iglu ala-ala eskimo untuk proses pembakaran.

Gok tersebut diperbuat daripada tanah liat dan usia gok tersebut telahpun menjangkau seratus tahun namun  masih boleh digunakan lagi sehingga kini.

Menurut cerita Pak Derus, beliau sudah berkecimpung dalam pembuatan kayu arang ini selama 48 tahun dan menariknya kayu arang di sini diiktiraf oleh pemborong sebagai "Kayu Arang Terbaik di Asia"!

Ini kerana arang yang dihasilkan tidak hancur dan berbentuk sebatang-sebatang kayu pokok bakau. 

Tapi paling 'rare' adalah kayu arang di Kampung Paya Lebar ini apabila disentuh menggunakan tangan ia tidak meninggalkan kesan hitam langsung.

TAMAN LOKAN - PENGALAMAN CARI LOKAN DALAM KOLAM BERSELUT

Selepas dah singgah di Sabak Arang, anda akan meneruskan lagi perjalanan river cruise selama 10 minit untuk sampai ke Taman Lokan yang diusahakan oleh Zainal Md Ali.

Taman Lokan ini sebenarnya menempatkan beratus-ratus lokan yang dikutip di sekitar hutan bakau Sungai Linggi untuk diternak di dalam kolam bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman mencari lokan di dalam kolam yang berselut.

Anda juga boleh menikmati rasa lokan fresh yang dikutip di situ dengan membakarnya di atas pit barbeku yang disediakan. Kalau bernasib baik, anda juga berpeluang merasai kesegaran udang galah dan ikan yang ditangkap oleh pemancing-pemancing di sungai berdekatan Taman Lokan tersebut! 

Taman Lokan ini juga boleh dijadikan sebagai tapak untuk perkhemahan atau tapak pelbagai aktiviti motivasi kerana ianya cukup luas dan selesa.

Di sini juga anda dapat berehat di kerusi dan meja taman buatan sendiri dengan binaan batu dan kulit lokan yang unik dan menarik.

Terdapat juga kerusi urut dan bermacam – macam lagi peralatan taman menarik telah dibina sendiri oleh  Pak Zainal.

Selain dapat beristirahat di sini, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti santai seperti menuai lokan, berkelah, berkhemah, memancing dan membakar lokan bersama keluarga dan rakan – rakan.

Destination: