"Pas Nak Berperang Dengan Siapa?" - Aksi Pemuda Pas Siap Bawa Replika Pedang, Lembing Cetus Kegusaran!

TERKINI
February 20, 2023 - 11:37 AM


Perarakan sekumpulan Pemuda Pas bersama replika senjata ketika Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang berlangsung pada 17 dan 18 Februari di Setiu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial.

Satu hantaran di media sosial Facebook pagi Ahad mempertikaikan tindakan itu yang disifatkan mempamerkan sisi 'ganas' parti tersebut.

Status tersebut mempersoalkan tindakan kumpulan itu memakai kostum dan membawa replika senjata kerana katanya Islam tidak berkembang ke seluruh pelosok dunia melalui peperangan.

Difahamkan, perarakan itu merupakan antara pengisian sepanjang progran Himpit 2023 yang berlangsung selama dua hari di Setiu.

Setiap kontinjen Pemuda Pas dari 8 daerah mempamerkan kreativiti masing-masing dalam merebut juara bagi kategori perarakan.

Difahamkan perarakan kontijen Marang itu turut membawa bersama replika pedang gergasi dan konvoi bermotosikal.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya sedang menyiasat isu itu yang kini tular di media sosial.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam program perarakan tersebut dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 17 Februari lepas di sebuah kawasan resort di Setiu. Perarakan itu merupakan salah satu dari acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata program itu disertai setiap daerah di negeri ini dengan hanya satu kumpulan mengenakan pakaian sambil membawa replika senjata.

Menurut Rohaimi, pihaknya mengetahui mengenai program tersebut -- namun tidak dimaklumkan mengenai perarakan membawa replika senjata tersebut.

Destination: