Asyik Rendang Ayam & Daging Je, Sesekali Jom Try 6 Resepi Rendang 'Rare' Di Pagi Raya Nanti!

FOODIE
April 17, 2023 - 05:33 PM


Bagi sesetengah orang, apalah erti Hari Raya tanpa juadah rendang yang lazat dimakan bersama ketupat dan lemang.

Oleh itu, tak hairanlah jika di setiap rumah yang kita kunjungi pada Hari Raya nanti pasti rendang menjadi lauk utama yang dihidangkan kepada para tetamu.

Kalau kena dengan tuan rumah yang agak kreatif dalam membuat idea masakan rendang yang 'rare' -- dapatlah korang merasa rendang selain ayam dan daging.

Sebagai contoh mungkin rendang udang galah, rendang kerang, rendang telur atau rendang maman.

Barulah makin meriah dan sukar dilupakan memori suasana Hari Raya kita yang makin lama makin suram ni, kan...

Meskipun mungkin bahan-bahan asas bagi memasak rendang-rendang ini adalah sama, namun 'watak utama' nya sahaja yang kita tukar. Tak susah, pun kan! Hehehe....

Jadi kalau korang yang tahun ini teringin untuk merasai kelainan menu rendang bagi dimakan bersama ketupat, lemang, nasi impit atau pulut kuning -- jom kita tengok resepi 10 rendang yang popular dan pastinya membangkitkan selera korang di pagi Raya nanti!

1. RENDANG UDANG GALAH

Bahan-bahan rendang pedas udang galah
• 1 1/2 kg udang galah
• 4 helai daun kunyit - hiris halus
• 5 helai daun limau purut - hiris halus
• 2 mangkuk santan pekat
• Gula kabung atau gula Melaka atau gula perang secukup rasa
• 3 sudu besar kerisik
• Garam secukup rasa
• 3 hingga 5 asam keping
• Minyak untuk menumis

Bahan A
• 4 biji bawang besar (atau 20 biji bawang merah)
• 1 labu bawang putih
• 3 inci halia
• 3 inci lengkuas
• 2 ketul kunyit hidup
• 6 batang serai - potong kecil
• 30 biji cili padi (boleh tambah atau kurangkan ikut cita rasa)

Cara - Cara
1. Kisar bahan A hingga lumat. Panaskan minyak. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga naik bau.
2. Masukkan kerisik dan kacau sehingga sebati.
3. Tambahkan santan. Kacau dan biarkan mereneh hingga pecah minyak. Kacau sesekali supaya tidak hangit.
4. Masukkan daun kunyit, daun limau purut dan asam gelugur. Kacau sebati.
5. Masukkan bahan utama udang galah dan gaul rata. Masak sehingga udang berubah warna.
6. Tambahkan santan dan air secukupnya jika perlu. Ketika memasak, kacau selalu untuk mengelakkan rendang hangit.

2. RENDANG KERANG

Bahan - Bahan 
2kg kerang direbus dan buang kulit
5 batang serai*
1 inci halia*
1 inci kunyit hidup*
1 inci lengkuas*
7 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
sedikit cili api*

2 sudu besar kerisik
2 cawan santan pekat
1 keping asam keping
2 helai daun kunyit dihiris halus
3 helai daun limau purut
Garam, aji dan gula

Cara - Cara 
1. Kisar bahan - bahan bertanda (*). Kemudian tumiskan hingga naik bau.
2. Masukkan santan, asam keping, garam, gula, ajinamoto kalau suka dan kerisik.
3. Kacau hingga kuah menjadi pekat.
4. Masukkan kerang dan kacau lagi.
5. Masukkan juga daun limau purut dan daun kunyit.
6. Siap, sedia untuk dihidang. Sedap!

3. RENDANG MAMAN GEMENCHEH

Bahan-bahan:
1 kg daging/1 ekor ayam kampung/itik/10 ekor puyuh/
2 kg sayur maman
2 kg santan/6 biji kelapa (perlu banyak santan)
Cili api RM1.50/ikut suka pedas
8/10 keping asam keping
2 buku kunyit hidup/agak-agak
garam secukup rasa

Cara - Cara 
1. Siang daun maman,basuh dan tus lebih awal supaya daun maman tidak terlalu basah.
2. Bersihkan daging dan masukkkan ke dalam kuali.
3. Kunyit dan cili api dikisar dan campurkan ke dalam daging tadi.
4. Kecutkan daging bersama air cili tadi sehingga agak kering,baru masukkan santan. (Kalau kelapa parut, perah lah terlebih dahulu, ambil santan pekat-pekat). Kalau bahan daging tadi agak keras masukkan dulu santan cair. Kalau tiada santan cair, masukkan air cili kisar tadi lebih-lebih.
5. Kacau bahan daging dan air cili itu supaya rata. Masukkan garam. Kalau puyuh, dagingnya lembut, eloklah dikeluarkan dulu dan biarkan santan itu mendidih sampai pekat.
6. Setelah pekat masukkan asam keping. Nampak santan tersebut sudah terbit minyak dan pekat baru masukkan daun maman tadi.
7. Jangan dikacau terlalu kuat, kerana dikhuatiri keluar air pahitnya. Buat perlahan-lahan supaya daunnya semua layu dan tenggelam.
8. Setelah semuanya layu, barulah dikacau rata-rata dan rasa garamnya.
9. Biarkan ramuan tersebut pekat semula dan terbit minyak, barulah boleh diangkat untuk dihidangkan.

4. RENDANG LOKAN

Bahan-Bahan:
1 1/2 cawan isi lokan
1 helai daun kunyit, hiris halus
2 helai daun limau purut
1/3 cawan santan pekat
1 camca besar penuh kerisik
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari ikan (jenama Baba's)
1 keping asam gelugor
1 cawan air
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa
Minyak kelapa untuk menumis (boleh guna minyak masak biasa)

Bahan Kisar Halus:
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci belacan
3 biji buah keras
1/2 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus

Cara - Cara 
1. Bancuh bahan kisar halus bersama rempah kari, gaul rata. Panaskan minyak kelapa dalam kuali, tumis bahan kisar halus + rempah kari tadi, hingga wangi, masukkan cili kisar, daun limau purut dan asam gelugor, kacau rata dan masak hingga terbit minyak.
2. Tuang air dan santan, kacau dan masak hingga sedikit pekat. Masukkan lokan dan kerisik, gaul rata dan kecilkan api, masak hingga pekat. Tambah gula melaka dan garam secukup rasa, terus memasak hingga hampir kering tapi masih lembap.
3. Masukkan hirisan daun kunyit, gaul dan rasa jika ok boleh matikan api.

5. RENDANG ITIK

Bahan - Bahan 
1 ekor itik (agak besar sedikit)
10 tangkai cili kering* (rebus sebentar)
2 kilo santan
10 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup*
1 inci lengkuas*
2 inci halia*
10 batang serai*
3 helai daun kunyit
2 keping asam gelugur
Garam dan gula secukup rasa

Cara - Cara 
1. Siang itik dan bersihkan. Masukkan ke dalam kuali.
2. Kisar bahan bertanda * dan sehelai daun kunyit. Masukkan kedalam kuali berisi itik. Masak sehingga itik mengecut dan bahan kisar mengering.
3. Masukkan santan dan kacau rata.
4. Masak hingga pekat, masukkan garam, asam gelugur dan secubit garam.
5. Teruskan memasak sehingga agak kering dan taburkan hirisan 2 helai daun kunyit yang di tinggal kan tadi. Bolehlah diangkat ketika ini jika nak yang masih berkuah.

Nota 
Masak lagi sehingga terbit minyak dan seakan menggoreng itik pula. Bila betul-betul kering atau serdak telah berwarna coklat kemerahan boleh di tutup api dan biarkan ia sejuk di dalam kuali. Kemudian baru di alih kedalam bekas lain. Pastikan guna sudu ketika mengambil rendang.Kalau guna tangan cepat basi.

6. RENDANG TELUR

Bahan-bahan
Telur anggaran 30 biji rebus ( Digoreng, tapi tak goreng pun boleh).
Serai 5 batang
halia 2 inci
lengkuas 2 inci
11 ulas bawang merah
Cili kering / cili api ikut suka banyak mana
2 sudu makan rempah kari daging
1 sudu makan serbuk jintan manis
2 sudu makan kerisik
1/2 cawan santan kotak
2 helai daun kunyit
Asam keping
Gula dan garam secukup rasa

Cara Penyediaan:
1. Kisar bawang, halia, lengkuas, serai, cili dan 1 helai daun kunyit
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Kemudian masukkan rempah daging dan serbuk intan manis. Tumis sampai pecah minyak
3. Masukkan santan, kerisik, asam keping dan tambah sedikit air
4. Perasakan dengan garam dan gula. Gaul hingga sebati
5. Bila kuah dah mendidih, masukkan telur. Gaul rata dan tunggu hingga masak atau kuah sedikit kering
6. Tabur hirisan daun kunyit. Siap.



 

P/S: Harap ini dapat beri idea buat korang untuk masak rendang pada hari raya nanti. Kalau jemu dengan ayam dan daging bolehlah cuba idea rendang 'rare' ini. 

Destination: