Apa Jadi Dengan Demokrasi? Blok Pembangkang Dilarang Masuk Parlimen, Berhimpun Di Dataran Merdeka

TERKINI
August 02, 2021 - 06:33 PM


Panas hari ini... beberapa ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen yang kini dikawal ketat oleh PDRM. Antara yang kelihatan ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohammad Sabu dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Jalan masuk ke bangunan parlimen kini ditutup dengan diletakkan penghadang bagi mengelakkan kemasukan orang ramai ekoran Sidang Khas Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan. Malah, beberapa jalan utama menuju ke bangunan Parlimen ditutup sehingga berlaku kesesakan kecil di sekitar Jalan Parlimen.

Terkini, mereka berkumpul di Dataran Merdeka dan merancang untuk berarak ke parlimen. Kesemua ahli parlimen dari DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu, dan UPKO berkumpul bagi mendesak pengunduran Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dan seluruh kabinetnya. 

AHLI PARLIMEN BUAT LAPORAN POLIS

Ahli Parlimen Johor Bahru (PKR), Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi  berhubung perhimpunan di hadapan parlimen hari ini.

Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mereka berada di sana untuk membuat laporan berhubung penutupan parlimen dan tindakan menghalang anggota Dewan Rakyat memasuki bangunan parlimen pagi ini.

TUN M SERTAI PERARAKAN BLOK PEMBANGKANG

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini turut menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat. Bekas Perdana Menteri itu tiba di Dataran Merdeka ketika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sedang menyampaikan ucapan. 

Dr Mahathir dalam ucapan beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menumpukan kepada masalah rakyat berbanding masalah politik. Sebelum ini, Ahli Parlimen Langkawi itu dan Anwar dilihat sudah lama 'tidak sepentas' selepas Ahli Parlimen Langkawi itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dalam krisis politik pada 2020.