Belawai, Sarawak Bakal Jadi Tarikan Pelancong Seperti 'Hawaii'

TERKINI
May 30, 2022 - 12:39 PM


Belawai, sebuah penempatan pesisiran pantai di bahagian tengah Sarawak kira-kira 480 kilometer ke utara dari Kuching -- boleh dibangunkan sebagai lokasi pelancongan yang dapat menandingi pusat pelancongan luar negara, seperti Hawaii.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan keadaan pantai semulajadinya yang indah -- kerajaan negeri bersedia untuk membangunkan infrastruktur seperti projek tebingan sungai, dan pelbagai kemudahan lain bagi menarik kehadiran pelancong ke kawasan itu.

"Selain waterfront, kita boleh juga membina motor home park untuk tempat parkir motorhome serta tempat menyambung bekalan elektrik dan air. Kalau kita dapat buat di sini, seperti negeri orang putihlah Belawai ni. Belawai jadi Hawaii," katanya.

Tambah beliau -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri bercadang untuk mempromosikan pelancongan menggunakan konsep motorhome atau van perkhemahan ini.

"Dengan siapnya projek Jalan Pesisiran Sarawak nanti, mudahlah pelancong datang ke sini menggunakan motorhome mereka, dan rakyat di sini juga akan memperolehi rezeki daripada kedatangan mereka," tambah Abang Johari.

Dahulu, Pantai Belawai hanyalah sebuah pantai ‘tersembunyi’ walaupun memiliki keindahan semula jadi, keunikan dan potensi pelancongan, disebabkan ketiadaan jaringan jalan raya yang menghubungkan Tanjung Manis terus dari Sibu.

Namun semuanya berubah sejak 10 tahun lepas, apabila jalan darat antara kedua-dua kawasan berkenaan siap dibina dan potensi besar pelancongan di kawasan pantai yang memiliki pasir putih dan bersih itu dapat dihidu, sekali gus menyaksikan pelan induk pembangunan pantai itu dibangunkan.

Pantai Belawai yang terletak kira-kira 104 kilometer atau satu setengah jam perjalanan dari Sibu itu umpama ‘magnet’ bagi menarik pelancong yang dahagakan pemandangan dan suasana pantai terutama di bahagian tengah Sarawak.

Pantai Belawai sebelum ini turut menjadi tumpuan penganjuran pelbagai program seperti Shimano International Surfcasting Challenge Cup 2019, pertandingan memancing terbesar pernah diadakan terutama di kawasan tengah Sarawak serta berjaya menarik penyertaan dari seluruh Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Singapura.

Sumber: Bernama


 

Destination: