Hebat! Sarawak Bakal Ada Syarikat Penerbangan Sendiri?

TERKINI
March 29, 2022 - 02:17 PM


Wow, tak sangka negeri terbesar di Malaysia iaitu Sarawak bakal memiliki syarikat penerbangannya sendiri!

Menurut laporan, kerajaan negeri Sarawak dan Pusat dijangka mencapai kata sepakat berhubung permohonan negeri itu untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan hasilnya akan diketahui dalam tempoh tiga bulan ini atau sekitar bulan Jun.

“Saya telah melakukan perbincangan bersama Perdana Menteri dan tujuan kita adalah untuk mempunyai syarikat penerbangan butik Sarawak.

“Untuk itu kita masih menjalani proses perbincangan antara Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Khazanah untuk tujuan berkenaan yang akan memaju sektor pelancongan di negeri ini.

“Buat masa ini perkara berkenaan masih di bawah perbincangan dan kita berharap dalam tempoh tiga bulan ini kita akan mencapai keputusan yang tertentu, Perdana Menteri juga menerima baik cadangan ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) lalu -- Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menubuhkan syarikat penerbangan butik tersendiri di bawah Hornbill Skyways.

Kemudahan itu dijangka bakal membantu meningkatkan jaringan perhubungan udara yang strategik seperti Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok dan Hong Kong.

Sementara itu, bermula 1 April ini, pelancong asing yang masuk ke Malaysia perlu mengisi 2 borang yang berbeza untuk tujuan ke Kuala Lumpur dan Sarawak dan ianya mencetuskan kekeliruan kepada mereka.

“Tetapi Sarawak tidak boleh mengenepikan protokol berkaitan kerana ia adalah hak kita untuk melindungi negeri ini, jadi apa yang kita perlukan adalah penerbangan langsung tanpa perlu ke Kuala Lumpur dan terus ke Kuching.

“Maka pelancong asing boleh terus bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi sahaja dan ini sangat memudahkan bagi mereka dalam masa yang sama memberi manfaat kepada negeri dan Malaysia amnya,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Destination: