Billie Eilish Turun KL Untuk Konsert Pertamanya Di Malaysia!
TERKINIBintang elektropop sensasi yang meraih tujuh trofi Anugerah Grammy, Billie Eilish akan mengadakan konsert sulungnya di sini, sempena siri jelajah dunia, Happier Than Ever, Ogos depan.
Penyanyi berusia 20 tahun itu akan menghangatkan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, pada konsert yang cukup dinanti-nantikan peminat di seluruh dunia.
Selain Kuala Lumpur, siri jelajah itu akan singgah di beberapa ibu kota di Asia seperti Manila, Seoul, Singapura, Bangkok dan Tokyo. Konsert itu sempena album studio terbaharu, Happier Than Ever edaran Universal Music.
Dibawa Live Nation Malaysia, pra-jualan untuk kelab peminat Eilish dibuka jam 10 pagi esok, disusuli ahli Live Nation, Sabtu ini pada jam 10 pagi.
Tiket berharga RM308, RM408, RM508 dan RM598.
Layari www.livenation.my untuk mendaftar sebagai ahli dan mendapat akses pra-jualan tiket.
Tiket untuk orang ramai mula dijual Isnin ini, jam 10 pagi melalui www.golive-asia.com dan GoLive Ticketing App.