Bukan Lagi Muhyiddin, Pejabat Perdana Menteri Arah Guna 'Mahiaddin' Dalam Urusan Rasmi

TERKINI
June 17, 2021 - 03:56 AM


Pernah sebelum ini dijadikan isu bahawa Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menggunakan nama sebenar beliau iaitu Mahiaddin Bin Md Yassin. Namun, semalam Pejabat Perdana Menteri telah diarahkan untuk menggunakan nama sebenar beliau bagi segala surat, dan dokumen rasmi. 

Di dalam sebuah edaran yang tular, memo tersebut mengarahkan supaya surat dan dokumen rasmi yang memerlukan tandatangan Perdana Menteri haruslah menggunakan ejaan rasmi namanya, Mahiaddin Bin Md Yassin atau Tan Sri Dato Seri Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yassin.

Surat edaran bertarikh 3 Jun itu mengarahkan supaya surat dan dokumen rasmi yang memerlukan tandatangan Perdana Menteri haruslah menggunakan ejaan rasmi namanya, iaitu dengan ejaan "Mahiaddin Bin Md Yassin" atau "Tan Sri Dato Seri Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yassin".

Difahamkan, arahan tersebut dikeluarkan setelah mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara. Antara faktornya adalah kerana pada bulan April, Mahkamah membebaskan seorang lelaki setelah memutuskan bahawa perintah penahanan yang ditandatangani oleh Perdana Menteri itu tidak sah, kerana itu bukanlah nama sebenarnya seperti yang tertera pada MyKad dan Warta Kerajaan Persekutuan. 

Lelaki itu sepatutnya ditahan selama dua tahun di pusat pemulihan Simpang Renggam, Johor.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa menteri-menteri yang menjalankan fungsi rasmi mestilah menggunakan nama seperti yang dinyatakan dalam MyKad dan Warta Kerajaan Persekutuan.