'Canggih Macam Robocop' - KTMB Guna Helmet Pengimbas Suhu Masa Rondaan
TERKINIKetika negara sedang berdepan dengan peningkatan kes baharu yang semakin membimbangkan hari demi hari, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula tampil dengan cara mereka tersendiri dalam membantu menangani penularan pandemik COVID-19 di kalangan penumpangnya.
Cara kreatif yang disifatkan oleh netizen "canggih macam Robocop" adalah apabila anggota Polis Bantuan KTMB kini dilengkapi dengan helmet pengimbas suhu yang membolehkan mereka mengesan penumpang bergejala melalui alat teknologi tersebut.
Menerusi Facebook rasmi KTMB berkongsi beberapa gambar polis bantuan mereka mengenakan helmet ala-ala adiwira ketika membuat rondaan di sekitar stesen, platform tren dan di dalam kereta api.
Menurut KTMB, pemakaian helmet berkenaan adalah inisiatif tambahan yang diperkenalkan mereka bagi meningkatkan keyakinan para penumpang ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan -- selain kaedah sedia ada masih dikekalkan seperti pengimbas suhu di stesen, hand sanitizer dan sanitasi tren.
Bagaimanapun, penggunaan helmet itu masih di peringkat percubaan bagi menilai keberkesanan serta kesesuaian kepada anggota polis bantuan mereka.
P/S: Apa-apa pun tahniah KTMB atas hasrat murni dan inisiatif demi kebaikan bersama. Kita Jaga Kita!