COVID-19: Pesta Buku Antarabangsa KL 2020 Ditangguhkan!

TERKINI
March 11, 2020 - 10:56 AM


Setiap tahun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) antara acara yang paling ditunggu-tunggu oleh si pencinta buku hingga sering mencatat kehadiran jutaan pengunjung setiap kali penganjurannya.

Namun, malangnya tahun ini PBAKL 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 27 Mac hingga 5 April depan DITANGGUHKAN kepada satu tarikh baharu susulan situasi semasa penularan wabak COVID-19.

Keputusan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk PBAKL 2020, Mohd Khair Ngadiron selepas berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Induk PBAKL 2020, di ibu negara beberapa hari lepas.

“PBAKL 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur adalah ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

“Manakala PBAKL 2020 atas talian akan dilancarkan dan berlangsung pada tarikh sama iaitu 27 Mac hingga 5 April depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah pesta buku antarabangsa di luar negara juga ada yang ditangguhkan serta dibatalkan antaranya: 

- Pesta Buku Antarabangsa London dibatalkan

- Pesta Buku Antarabangsa Taipei ditangguhkan ke Mei 2020

- Pesta Buku Antarabangsa Bangkok dibatalkan

- Pesta Buku Antarabangsa Abu Dhabi dibatalkan

- Pesta Buku Antarabangsa Paris dibatalkan

Kesemua ini adalah terpancar daripada kerisauan terhadap ancaman COVID-19 yang mencatatkan jumlah korban global melepasi 4,000 nyawa sehingga semalam (10 Mac 2020).

Sumber: Berita Harian

Destination: