Dah Boleh Bawa Penumpang Ikut Kapasiti Kenderaan, Mulai Hari Ini

TERKINI
May 27, 2020 - 12:00 PM


Jika sebelum ini untuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kerajaan hanya mengehadkan 4 orang dari keluarga yang sama dalam sebuah kenderaan persendirian -- namun bermula hari ini angka itu boleh ditambah mengikut kapasiti kenderaan masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain daripada ahli keluarga, penumpang mestilah terdiri daripada orang yang tinggal serumah dengan pemandu.

"Jika multi purpose vehicle (MPV) (kenderaan pelbagai guna) kapasitinya adalah 7 penumpang, jadi bermula 27 Mei, mereka boleh membawa penumpang dengan jumlah maksimum.

"Pemandu harus mengikut kapasiti kenderaan masing-masing seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata perkara itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Perkara itu telah diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6)(Pindaan) 2020.

Untuk rekod, pada PKP fasa kedua yang bermula 1 April, kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan satu orang satu kenderaan manakala kelonggaran kepada 2 penumpang dalam satu kereta pula diberikan ketika PKP fasa keempat yang bermula 29 April. 

Sumber: Bernama

 

Destination: