Mulai Hari Ini, Siapa Cuba Rentas Negeri Terus Polis Kompaun & Arah Patah Balik

TERKINI
May 21, 2020 - 03:19 PM


Mulai hari ini (21 Mei), mana-mana individu yang menaiki kenderaan dan didapati cuba merentas negeri akan terus dikenakan kompaun sebelum diarahkan untuk berpatah balik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihak berkuasa memandang serius larangan rentas negeri terutama perjalanan tanpa kebenaran semata-mata untuk menyambut Aidilfitri.

"Pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula menjalankan pemeriksaan di taman perumahan dan kampung bagi mengesan individu yang ingkar.

"Sekiranya tertangkap mereka akan dibawa ke balai polis untuk dokumentasi dan diberi notis kompaun," katanya.

PDRM menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.

Orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mempunyai alasan munasabah dan mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.

Hari ini banyak media melaporkan bahawa aliran trafik di sempadan antara negeri sesak dengan kenderaan yang bertali arus dan dipercayai untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri meskipun operasi ketat sedang dijalankan.

Jumlah kenderaan yang cuba merentas negeri terus menunjukkan peningkatan lebih sekali ganda kepada 3,212 kenderaan pada Selasa berbanding 1,633 pada Isnin.

Sumber: Harian Metro

Destination: