Mulai Hari Ini, Tiada Perkhidmatan Pengangkutan Awam Antara 10 Pagi-5 Petang

TERKINI
March 24, 2020 - 03:49 PM


Mulai hari ini, semua perkhidmatan rel Rapid KL membabitkan tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel hanya akan beroperasi dari 6 hingga 10 pagi sebelum direhatkan dan bersambung semula dari pukul 5 petang hingga 10 malam sahaja!

Oleh yang demikian, TIADA PERKHIDMATAN disediakan antara 10 pagi hingga 5 petang dengan kereta api terakhir akan tamat beroperasi pada pukul 10 malam dan semua stesen akan ditutup.

Tempoh perkhidmatan terbaru dengan kadar kekerapan antara 10 hingga 30 minit itu dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad bagi menyokong Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinga 31 Mac ini.

Bukan sahaja tren, malah semua bas henti-henti iaitu Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan dan Rapid Kamunting juga hanya akan beroperasi dari 6 hingga 10 pagi sebelum berhenti dan bersambung semula dari 5 petang hingga 10 malam.

Feri Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Rapid Ferry pula akan mengendalikan satu feri setiap jam antara 6 hingga 10 pagi dan antara 5 petang hingga 10 malam.

Orang ramai khususnya mereka yang bertugas dalam perkhidmatan penting yang menggunakan pengangkutan awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka atau mencari pengangkutan alternatif.

Bagi mendapatkan butiran lanjut dan terkini, orang ramai yang boleh mengikuti saluran media sosial Prasarana di laman Facebook Rapid KL @myrapid, Twitter atau Instagram di @myrapidkl.

Sumber: Harian Metro

Destination: