Tren & Bas Prasarana Operasi Macam Biasa, Cuma Kekerapan Akan Dipantau

TERKINI
March 17, 2020 - 02:43 PM


Sepanjang 14 hari berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan, warga kota serta individu yang masih perlu bekerja ke pejabat kerana berkhidmat dengan industri yang masih dibenarkan untuk beroperasi, tidak perlu bimbang dengan sistem pengangkutan harian mereka.

Ini kerana semua perkhidmatan tren dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad di seluruh negara akan beroperasi seperti biasa esok dan hari-hari seterusnya.

Ia termasuk tren LRT Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling; MRT Laluan Sungai Buloh - Kajang, Laluan Monorel, Bas Rapid Transit Laluan Sunway dan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting dan Rapid Manjung akan beroperasi seperti biasa dengan jadual kekerapan hari bekerja.

Bagaimanapun, pemantauan akan dibuat kemudian untuk memastikan kesesuaian jadual kekerapan yang digunakan.

“Memandangkan perintah pergerakan terhad ini diarahkan buat pertama kali, kami perlu memastikan kekerapan yang sesuai kerana belum dapat memastikan jumlah penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan kami pada hari esok dan sepanjang tempoh perintah pergerakan terhad ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Encik Muhammad Nizam Alias dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, sebarang keputusan berhubung kekerapan perjalanan tren dan bas tersebut akan diumumkan selepas mengadakan perbincangan bersama pihak Kementerian Pengangkutan khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Rapid KL, orang ramai boleh melayari akaun Twitter dan Instagram serta web Facebook @myrapid, juga boleh menghubungi talian HOTLINE di 03-78852585. 

Destination: