Perbaharui Pas Perjalanan My100 & My50 Hingga 31 Mei Ini

TERKINI
May 04, 2020 - 02:29 PM


Ini berita baik kepada para pekerja yang bakal memulakan perjalanan ke pejabat masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam -- seiring dengan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengguna pas perjalanan My100 dan My50 yang tamat tempoh, boleh memperbaharui pas mereka bermula hari ini (4 Mei) hingga 31 Mei ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Muhammad Nizam Alias berkata, urusan pembaharuan itu boleh dilakukan di semua kaunter khidmat pelanggan stesen sistem transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel, transit aliran bas (BRT) dan di hab bas yang terpilih.

"Prasarana prihatin terhadap pengguna Pas My100, My50, yang tidak dapat terus menggunakan pas perjalanan tanpa had mereka, sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

“Kepada para pengguna yang akan memperbaharui pas yang telah tamat tempoh atau akan membeli pas baharu bermula minggu hadapan, kami akan memberikan penambahan 15 hari secara percuma kepada pengguna.

"Jadi, secara keseluruhan, pengguna akan mendapat perjalanan tanpa had selama 45 hari dengan harga yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran pembaharuan pas perjalanan itu, pihak Rapid KL menempatkan penambahan kakitangan di setiap stesen yang sesak.

Beliau turut menggesa pengguna pengangkutan awam sentiasa memakai penutup hidung dan mulut, mengamalkan kebersihan diri, serta menjaga jarakan sosial, sebagai langkah keselamatan ketika berada di tempat awam.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkenaan pas My100 atau My50, pengguna boleh merujuk kepada kakitangan Rapid KL di stesen atau hab bas atau layari www.myrapid.com.my untuk maklumat lanjut. 

Sumber: Bernama

 

Destination: