Demi Nak Tarik Pelancong, Arab Saudi Longgar Peraturan Pelancong Bukan Mahram Boleh Kongsi Bilik Hotel

TERKINI
October 10, 2019 - 12:50 PM


Kalau sebelum ini Arab Saudi sangat tegas dalam pelaksanaan undang-undang melibatkan golongan wanita dan hubungan bukan mahram, namun keputusan terbaru negara itu nyata mengejutkan ramai pihak.

Ia apabila Arab Saudi kini telah membenarkan lelaki dan wanita warga asing menyewa bilik hotel bersama tanpa perlu membuktikan mereka mempunyai hubungan, selepas pentadbiran diraja konservatif itu melancarkan pelaksanaan visa baru untuk menarik pelancong.

Wanita termasuk warga tempatan, juga dibenarkan menyewa bilik hotel bersendirian, dalam perubahan terhadap peraturan sebelumnya.

Tindakan itu jelas memberi laluan kepada wanita yang tidak ditemani untuk lebih mudah melancong dan bagi pelawat asing tidak berkahwin tinggal bersama di negara Teluk itu.

Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi mengesahkan dalam satu laporan pada Jumaat lalu (4 Okt) oleh akhbar bahasa Arab, dengan menyebut: “Semua rakyat Arab Saudi diminta menunjukkan kad pengenalan keluarga atau bukti hubungan jika mendaftar masuk hotel.

“Perkara ini tidak tertakluk kepada pelancong asing. Semua wanita termasuk rakyat Arab Saudi boleh menempah dan tinggal di hotel bersendirian, namun perlu menunjukkan kad pengenalan ketika mendaftar masuk.”

Arab Saudi membuka pintunya kepada pelancong asing dari 49 negara minggu lalu ketika ia cuba mengembangkan sektor berkenaan dan mempelbagaikan ekonominya selain eksport minyak.

Sebagai sebahagian langkah itu, ia mengeluarkan arahan bahawa pelancong tidak perlu memakai jubah hitam keseluruhannya namun berpakaian sopan. Minuman keras masih dilarang!

Arab Saudi dianggap negara sukar dikunjungi bagi pelancong dengan sebelum ini hanya mengeluarkan visa untuk perniagaan dan lawatan keluarga, selain haji serta umrah.

Pelancongan menjadi segmen penting dalam Wawasan 2030 Arab Saudi untuk meningkatkan pelancong asing dan tempatan hingga 100 juta orang menjelang 2030.

Sumber: Berita MediaCorp

 

Destination: