Duduk Di PPS Atau Tidak, Semua Mangsa Banjir Warganegara Layak Terima Bantuan RM1,000

TERKINI
December 23, 2021 - 09:00 PM


Semua warganegara yang menjadi mangsa banjir sama ada mereka berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ataupun tidak -- bakal menerima bantuan secara one-off sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata sebelum ini bantuan hanya diberikan kepada mereka yang berlindung di PPS, selain individu didaftarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, arahan terkini membolehkan sesiapa saja yang terkesan akibat banjir dan warganegara boleh mendapat bantuan itu selepas nama mereka disaring oleh Pejabat Daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

"Kita akan menyalurkan bantuan berdasarkan senarai nama dikemukakan oleh kerajaan negeri dan perlu memproses serta menyaring (senarai nama) untuk memastikan pemohon adalah warganegara.

"NADMA akan terima apa saja data diberikan Pejabat Daerah atau PBT membabitkan sesiapa saja yang dirasakan layak, termasuk mereka yang menyewa kediaman di kawasan terjejas banjir dan mengalami kerosakan harta benda akibat bencana itu," katanya.

Aminuddin berkata, pada masa sama PBT perlu segera mengemukakan senarai mangsa terbabit bagi membolehkan bantuan dapat disalurkan.

"Kita memahami kesukaran PBT mengumpul nama mangsa yang terjejas berikutan bilangan mereka yang ramai," katanya.

Lapan negeri terjejas selepas dilanda banjir sejak Jumaat lalu susulan hujan lebat berterusan.

Pahang dan Selangor antara negeri yang teruk terjejas akibat bencana berkenaan.

Susulan kejadian itu, ada antara penduduk yang memilih sama ada terus berada di rumah sendiri atau menumpang di rumah saudara-mara dan rakan, berbanding berlindung di PPS.

Sumber: Berita Harian

Destination: