Duit BPR Anda Tak Lulus? Jangan Risau, Boleh Buat Rayuan Dari 15-30 Jun Ini

TERKINI
June 14, 2021 - 12:15 PM


Bagi anda yang tidak lulus dalam permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini, jangan risau!

Ini ada satu berita baik untuk anda.

Mulai esok (15 Jun) sehingga 30 Jun ini, anda masih berpeluang untuk memohon semula BPR memandangkan kerajaan membuka tempoh rayuan khusus kepada mereka yang permohonan sebelum ini tidak berjaya.

Pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Permohonan rayuan boleh dibuat menerusi 2 cara iaitu:

1) Secara dalam talian di https://bpr.hasil.gov.my 

2) Menghantar borang rayuan BPR 2021 secara manual di cawangan/Pusat Khidmat Hasil (PKH) / Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM berhampiran menerusi temu janji

Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, seperti diumumkan dalam Program Pemerkasa Tambahan pada 31 Mei 2021, kerajaan telah memperkenalkan BPR Tambahan sebanyak RM2.1 bilion untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada.

Pemohon yang lulus rayuan BPR ini layak menerima bayaran BPR Tambahan berkenaan.

Menurutnya, selepas pangkalan data BPR dikemaskini -- pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada Ogos 2021 (BPR Tambahan) dan September 2021 (BPR Fasa 3).

Untuk tahun ini, kerajaan telah menyalurkan RM4.6 billion bantuan BPR kepada seramai 8.4 juta penerima B40 pada Februari/Mac dan Mei 2021.

Bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada September 2021.

Sumber: Harian Metro

Destination: