Fasa 4 PKP Yang Bermula Hari Ini, Benarkan Keluar Berdua

TERKINI
April 29, 2020 - 02:13 PM


Jika pada Fasa Pertama hingga Ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya membenarkan seorang yang bergelar ketua keluarga untuk keluar membeli barangan keperluan harian di luar --

Namun hari ini apabila bermula Fasa 4 PKP, syarat itu dilonggarkan sedikit dan ia membenarkan ketua keluarga membawa seorang lagi ahli keluarga bersama untuk keluar membeli makanan, ubat-ubatan atau barangan keperluan harian.

Kebenaran itu berdasarkan kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.

Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

Walau bagaimanapun warta persekutuan itu menyebut individu yang keluar bersama itu mestilah merupakan ahli keluarga dari kediaman yang sama.

Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, yang telah dikemaskini membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain untuk disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah.

Versi sebelum ini menyatakan bahawa individu yang ingin membeli barang keperluan di kawasan yang dijangkiti "tidak boleh disertai mana-mana orang lain, melainkan jika adalah semunasabahnya perlu baginya untuk disertai mana-mana orang lain."

Peraturan yang dikemaskini itu juga memperluas barangan yang boleh dibeli oleh orang ramai.

Peraturan sebelum ini menyatakan bahawa orang ramai hanya boleh meninggalkan rumah mereka untuk membeli "makanan, ubat, penokok diet atau keperluan harian.”

Walau bagaimanapun, peraturan terbaru menambah"apa-apa barang lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan perlu" ke dalam senarai berkenaan.

Peraturan baru yang diwartakan itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Adham Baba.

PKP fasa 3 sepatutnya berakhir semalam tetapi dilanjutkan lagi hingga 12 Mei.

Malaysia diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac.

Di bawah PKP, semua perniagaan dan perkhidmatan yang dianggap kurang penting diperintahkan ditutup dan orang ramai tidak boleh meninggalkan kediaman mereka kecuali untuk alasan yang dibenarkan, seperti membeli barang runcit dalam lingkungan 10km.

Langkah itu, yang bertujuan untuk mengekang penyebaran Covid-19, yang menyebabkan sebahagian besar ekonomi negara terhenti.

Sumber: Sinar Harian

Destination: