Lapor Perbuatan Ingar PKPB Dengan Gambar Atau Video Kepada Polis & PBT

TERKINI
May 04, 2020 - 05:56 PM


Seperti yang kita sedia maklum, bermula hari ini (4 Mei) -- negara kita mula melonggarkan beberapa syarat pergerakan kepada orang ramai menerusia Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tidak dinafikan ramai yang bimbang dengan kelonggaran yang diberikan Kerajaan memandangkan statistik kes COVID-19 di Malaysia masih wujud kes baharu di mana penularan kes tempatan didapati meningkat beberapa hari ini akibat daripada kluster terdahulu.

Namun disebabkan aspek ekonomi, Kerajaan terpaksa juga melaksanakan PKPB dengan mengharapkan pematuhan yang tinggi daripada rakyat sendiri dalam menjaga penjarakan sosial dan kebersihan diri sewaktu keluar rumah.

Jika didapati terdapat rakyat yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB -- orang ramai boleh bertindak untuk melaporkan bukti keingkaran tersebut kepada mana-mana balai polis berdekatan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti majlis daerah, majlis perbandaran dan lain-lain.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lebih bagus sekiranya laporan itu disertakan dengan bukti visual bagi memudahkan siasatan pihak berkuasa.

"Kalau boleh ambil gambar, kalau ambil video lagi bagus. Lebih terbukti apa yang dilaporkan," ujarnya menerusi sidang media harian pada Isnin.

Selain itu, aduan juga boleh dibuat menerusi talian bebas tol Majlis Keselamatan Negara di nombor 88882010 atau MyGCC di talian 80008000.

Kedua-dua talian itu boleh dihubungi sepanjang masa dan beroperasi selama 24 jam sehari.

Untuk rekod, sehingga kini seramai 24,081 individu telah ditangkap kerana ingkar PKP sejak ia dikuatkuasa 18 Mac lalu.

Sumber: Mstar

Destination: