Fotografi Korang Gempak? Jom Masuk Pertandingan Ambil Gambar Hutan Tropika
TERKINIKalau korang ada skil fotografi yang gempak, korang kena sahut cabaran masuk Pertandingan Fotografi MTCC 2021 anjuran Majlis Pensijilan Malaysia (MTCC) tahun ini yang bermula 21 Mac hingga 30 Jun depan yang bertemakan 'Alami hutan, Alami MTCS-PEFC' (Experience Forest, Experience MTCS-PEFC).
Pertandingan tahun ini anjuran usaha sama antara MTCC dan PCP Publications, dan pilihan tema tersebut adalah untuk mempromosikan kepentingan menghargai nilai alam dan pengurusan hutan mampan melalui pensijilan bagi memanfaatkan generasi akan datang.
Terdapat empat kategori baharu dalam pertandingan tahun ini yang mengambil kira pelaksanaan PKP, merangkumi tiga kategori foto iaitu Natural Forest Landscapes, Wood in Our Life dan Stay Safe, Stay Green serta satu kategori video, I Wander and I Wonder.
Tahun lepas, seramai 166 peserta dari seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dengan penyerahan sebanyak 1,384 foto dan 19 video pendek.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTCC, Yong Teng Koon, pertandingan tahun ini membawa makna tersendiri memandangkan 21 Mac adalah sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-9 yang bertemakan “Pemulihan hutan: jalan menuju pemulihan dan kesejahteraan”.
Pilihan tema tersebut selari dengan resolusi Sedekad Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2021-2030) yang menyeru kepada usaha-usaha pemulihan dan pengurusan hutan lestari dalam menangani kesan-kesan krisis alam sekitar dan biodiversiti.
Maklumat tentang kategori-kategori yang dipertandingkan:
Kategori A: Natural Forest Landscapes
Kategori ini memberi peluang kepada peserta menyerlahkan bakat dalam merakam keindahan hutan dan landskap hutan di Malaysia. Imej-imej yang diambil boleh meliputi kehidupan masyarakat yang bergantung kepada sumber hutan sebagai mata pencarian, pelbagai jenis flora dan fauna dan ekosistem yang dikekalkan.
Setiap penyertaan harus menggambarkan keindahan semulajadi, kepelbagaian dan keunikan hutan dengan mengambil kira bentuk dan strukturnya. Untuk landskap hutan, imej-imej yang diambil sewajarnya menggambarkan ciri-ciri geologi atau klimatologi dan persekitaran semulajadi hutan Malaysia.
Kategori B: Wood in Our Life
Kategori ini memerlukan imej-imej yang menggambarkan kepelbagaian penggunaan kayu sebagai mata pencarian juga kemahiran warisan masyarakat kita, dan nilai kayu terhadap manusia.
Imej-imej yang ditampilkan juga boleh menunjukkan mereka yang bekerja membuat produk daripada kayu menggunakan perkakas atau peralatan berasaskan kayu, struktur-struktur kayu atau sebarang objek berkayu yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Kategori C: Stay Safe, Stay Green (Sosial media Facebook/Instagram) #staysafestaygreen
Memandangkan kita sedang menjalani satu kehidupan yang berbeza disebabkan oleh kesan pandemik, kategori ini diadakan khusus untuk menunjukkan bagaimana kita masih dapat memainkan peranan dalam menghijaukan alam sekeliling walaupun terdapat pelbagai kekangan.
Kategori ini mengajak para pengguna media sosial untuk memuat naik imej-imej yang menggambarkan usaha kecil tetapi bermakna mereka (seperti membuat kebun-kebun kecil atau taman-taman tergantung dll) demi menghijaukan persekitaran sambil kekal selamat di rumah.
Setiap penyertaan harus dimuat naik berserta tanda pagar berikut: #mtccphotocontest2021 #staysafestaygreen. Keputusan akan diumumkan di laman rasmi Facebook MTCC dan Facebook AdvancedImagesTravelution. Para pemenang akan dihubungi melalui laman sosial masing-masing.
Kategori D: Video – Aku Bersiar-Siar Aku Membayangkan (I Wander and I Wonder)
Kategori ini mengajak para peserta untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menikmati keindahan dan suara alam di hutan ataupun taman rekreasi di Malaysia. Video haruslah dirakam menggunakan kamera telefon pintar/tablet/dron/kamera tahan lasak (GoPro dll), atau hasil gabungan peranti mudah alih. Durasi setiap video ialah sekurang-kurangnya 30 saat dan tidak melebihi 3 minit.
Para peserta boleh menambah teks, kesan grafik atau rakaman suara mengikut kreativiti masing-masing asalkan ia mematuhi undang-undang hak cipta yang berkaitan.
Selain hadiah utama yang merupakan wang tunai RM2,000, pertandingan ini turut menawarkan satu hadiah tempat pertama iaitu wang tunai RM1,200, dua hadiah merit RM600 dan 10 hadiah saguhati RM200 untuk setiap pemenang bagi setiap kategori.
Bagi kategori media sosial pula, hadiah wang tunai RM100 ditawarkan untuk tiga penyertaan terbaik selain tujuh hadiah merit RM50. Dua video terbaik akan menerima hadiah wang tunai RM500 setiap seorang. Setiap pemenang juga akan mendapat buku/majalah ihsan PCP Publications.
Penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai minat terhadap hutan, kayu-kayan dan fotografi. Setiap peserta boleh menghantar sehingga 10 keping foto bagi setiap kategori dan dikehendaki untuk memuat naik penyertaan ke sistem penyimpanan dalam talian dan menghantar e-mel pautan tersebut ke [email protected].
Untuk maklumat lanjut dan borang penyertaan, sila layari laman-laman Facebook: MTCC.Malaysia, AdvancedImagesTravelution, majalahFotografika atau PhotoCreatorTravelmate.
Kalau korang terror, jom join! Ada bran? Hehe
Sumber: mStar