Ini 5 Makna & Fungsi PM 'Caretaker' Yang Korang Kena Tahu!

TERKINI
August 16, 2021 - 03:28 PM


Hari ini (16 Ogos) -- negara kita dikejutkan sekali lagi dengan 'pergolakan panas politik' apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8, yang juga paling singkat memegang jawatan itu dalam sejarah iaitu selama 17 bulan. 

Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

"Saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Namun dalam pada masa, Baginda juga berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau "Caretaker" -- sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Tapi jika sebelum ini kita pernah mendengar mengenai Perdana Menteri 'Interim' yang dilantik iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad -- namun mesti ramai yang tertanya-tanya apa pula makna dan fungsi di sebalik jawatan PM 'Caretaker' ini? Jom kita lihat di bawah:-

1) Malaysia sebenarnya belum pernah mewujudkan lagi Garis Panduan khusus dan jelas berkaitan kerajaan sementara (caretaker government) di negara ini, seperti negara Komanwel yang lain.

2) Istilah kerajaan sementara tidak dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan -- Pensyarah Kanan Undang-Undang Perlembagaan, Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM), Dr Ikmal Hisham Md Tah.

3) Dari segi istilah dan amalan umum, kerajaan sementara ialah apabila Dewan Rakyat dibubarkan -- namun dalam konteks sekarang ia boleh dilantik jika Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 43 (4) dan syarat Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Dewan Rakyat.

Perdana Menteri caretaker ini dilantik Yang di-Pertuan Agong dan ia tidak bercanggah peruntukan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain termasuk Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Ia selaras konvensyen perlembagaan dalam keadaan Perdana Menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan tiada pembubaran dewan berlaku, memandangkan ketika ini negara sedang bergelut dengan situasi pandemik.

Ini dapat dilihat melalui pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim selepas beliau meletak jawatan pada 24 Februari 2020 hingga 29 Februari 2020 ketika 'Langkah Sheraton' berlangsung.

4) Had kuasa kerajaan sementara atau 'caretaker', secara teorinya tidak begitu banyak. Malah mereka juga tidak sepatutnya melaksanakan dasar, peruntukan atau projek baharu. 

5) Kerajaan sedia ada akan kekal berkuasa sehingga pilihan raya diadakan dan akan terus mentadbir negara, dengan dibantu oleh penjawat awam di seluruh negara sebagai jentera dalam sistem pentadbiran  bagi membolehkan dasar dan program negara berjalan dengan lancar.

Sumber: BH & FMT

Destination: