Kelantan, Terengganu, Pahang & Johor Dijangka Banjir Bermula 31 Dis Ini

TERKINI
December 29, 2021 - 08:04 PM


Bagi anda yang menetap di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor -- anda dinasihatkan untuk berjaga-jaga serta membuat persediaan bagi menghadapi banjir yang diramal akan mula berlaku pada 31 Disember ini.

Ia merupakan peringatan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa (28 Dis).

BANJIR DI KELANTAN

JPS meramalkan banjir dijangka berlaku di Kelantan bermula 31 Disember jam 8 malam di Sungai Kelantan.

Ia akan melibatkan beberapa daerah termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang.

Banjir berhampiran Sungai Golok akan melibatkan daerah Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitar yang berisiko.

BANJIR DI TERENGGANU

Bagi Terengganu, banjir dijangka bermula pada 31 Disember jam 8 pagi berhampiran Sungai Besut membabitkan daerah Besut.

Ia juga mungkin menjejaskan mereka yang tinggal berhampiran Sungai Terengganu dan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir.

BANJIR DI PAHANG

Banjir mungkin bermula pada 1 Januari jam 8 pagi di Pahang dekat Sungai Pahang melibatkan daerah Maran, Temerloh dan Jerantut; Sungai Kuantan melibatkan daerah Kuantan (Sg. Lembing); dan Sungai Rompin melibatkan daerah Rompin serta kawasan sekitar yang berisiko dilanda banjir.

BANJIR DI JOHOR

Bagi Johor, banjir mungkin berlaku pada 1 Januari jam 8 malam berhampiran Sungai Mersing yang melibatkan daerah Mersing dan kawasan sekitarnya yang berisiko banjir,” katanya.

JPS menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sumber: The Star