KTMB Gesa Penumpang ETS Bernombor 9173 Membuat Saringan Covid-19 Sekiranya Bergejala

TERKINI
March 25, 2020 - 01:46 AM


Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggesa penumpang yang telah menaiki tren ETS bernombor 9173 supaya membuat saringan kesihatan sekiranya mempunyai gejala Covid-19 seperti demam, batuk dan selsema.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Kamarulzaman Zainal, saringan ini perlu dilakukan kerana salah seorang penumpang yang menaiki tren berkenaan dari KL Sentral dari Butterworth pada 7 Mac telah disahkan positif virus berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, difahamkan; seorang lelaki berusia 70 tahun yang juga merupakan mangsa ke-11 yang diumumkan meninggal dunia akibat jangkitan virus ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz-Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buat sementara waktu, pihak KTMB telah menghentikan servis mereka serta merta bagi melakukan kerja – kerja membersihkan dan membasmi kuman di tren yang terjejas selain pembasmian kuman serta pembersihan juga dilakukan di semua gerabak kereta api ETS untuk keselamatan penumpang dan kakitangannya.

Kesemua petugas KTMB yang menaiki tren berkenaan serta stesyen yang berkaitan telah diarahkan untuk membuat saringan kesihatan, sekiranya mempunyai gejala.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman media sosial KTMB, seperti KTM Berhad (Facebook), @ktm_berhad (Twitter) dan @ktmbofficial (Instagram) atau kunjungi laman web rasmi, www.ktmb.com.my atau hubungi pusat panggilan di 03-22671200.

--Bernama