Malaysia Lanjut PKP Sehingga 28 April, Pertama Kali Juga Umat Islam Puasa Ramadan Di Rumah
TERKINISeperti ramai yang jangka, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini disambung lagi untuk tempoh 2 minggu iaitu dari 15 hingga 28 April 2020.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen pada pukul 4 petang Jumaat.
Dengan lanjutan tersebut, Malaysia telah melakukan 3 kali fasa PKP setiap 2 minggu iaitu :
1) 18 Mac - 31 Mac
2) 1 April - 14 April
3) 15 April - 28 April
Keputusan melanjutkan PKP tersebut dibuat bagi memberikan ruang secukupnya kepada petugas kesihatan untuk memerangi wabak COVID-19 secara total, selain mengelak penularan semula virus berkenaan.
Malah, tindakan menyambung PKP itu juga adalah selaras dengan pandangan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) yang menyarankan negara-negara tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal dan sepertimana berlaku di beberapa negara yang penularan wabak ini meningkat semula apabila perintah kawalan pergerakan ditamatkan.
Dengan lanjutan PKP itu juga bermakna buat pertama kalinya, umat Islam di Malaysia terpaksa berpuasa dengan hanya duduk di rumah, tidak dibenarkan solat Tarawih di masjid dan tiada Bazar Ramadan diwujudkan seperti kebiasaanya.
Ini kerana 1 Ramadan dijangka jatuh pada 24 April di mana umat Islam di Malaysia bakal mula melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa.
Menerusi PKP, semua rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan bidang yang disenaraikan sebagai 'essential services' perlu mengehadkan pergerakan seharian mereka dengan duduk di rumah masing-masing.
Ia bertujuan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Sumber: Bernama