Sedihnya! Kes Termuda Positif COVID-19 Malaysia Adalah Bayi Berusia 12 Hari

TERKINI
March 26, 2020 - 06:21 PM


Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan belum lagi tamat fasa pertama, sebelum ia dilanjutkan bagi fasa kedua sehingga 14 April ini -- namun sudah ada berita yang menyayatkan hati apabila kes termuda yang telah disahkan positif COVID-19 di negara kita merupakan seorang bayi berusia 12 hari!

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis.

Bagaimanapun menurut Dr Noor Hisham, maklumat mengenai mangsa termuda itu akan dimaklumkan kelak.

"Pesakit paling muda kalau gelombang pertama berusia empat tahun, tapi kita ada umur yang lebih muda daripada itu iaitu 12 hari," ujarnya.

Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di Malaysia terus meningkat, dengan jumlah terkini 23 orang.

Malah, kes baharu juga merekodkan jumlah yang tertinggi setakat ini iaitu 235 sehingga pukul 12 tengah hari Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan 2,031 kes.

Kes kematian ke-22 iaitu lelaki warga Malaysia berumur 48 tahun dan merupakan pesakit yang menghadiri perhimpunan di Seri Petaling serta mempunyai kontak rapat dengan kes positif, juga mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Pesakit tersebut dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8.15 malam 23 Mac.

Manakala kes kematian ke-23 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik. 

Pesakit telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, Perak mulai 23 Mac dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.37 tengah hari 25 Mac.

Sumber: Mstar

Destination: