MAS Confirm Tutup? Firefly Pula Bakal Jadi Syarikat Penerbangan Nasional Kita?

PANAS
October 21, 2020 - 12:17 PM


Khazanah Nasional Bhd yang juga pemegang saham tunggal syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Berhad (MAB) kini dilihat semakin hampir untuk memuktamadkan keputusannya - sama ada terus menyalurkan satu lagi talian hayat untuk MAB atau bertindak sebaliknya.

Setakat ini, tiada sebarang petanda jelas jika MAB mampu bangkit semula, walaupun Khazanah bertindak menyalurkan dana memandangkan kerajaan telah memberi sokongan kewangan terhadap syarikat penerbangan itu sejak 20 tahun lepas.

Malah, suka atau tidak, satu keputusan muktamad perlu dibuat ketika liabiliti dan hutang MAB terus meningkat.

Jilka dilihat, pada akhir 2018, liabiliti MAB hanyalah kurang RM5.5 bilion manakala pada 6 Oktober lepas, syarikat penerbangan itu mengumumkan pelaksanaan pelan penstrukturan semula segera dengan hutang mencecah RM16 bilion.

Kalangan penganalisis penerbangan berpendapat sudah tiba masanya untuk Khazanah mengurangkan pegangan atau pemilikannya dan sebaliknya mempertimbang langkah penswastaan penuh dalam usaha menyelamatkan MAB apabila kerajaan tidak lagi mempunyai peruntukan secukupnya untuk menampung MAB.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga sudah beberapa kali menegaskan bahawa kerajaan tidak lagi dapat menyuntik dana secara tunai atau pun modal untuk MAB dan menyerahkan kepada Khazanah untuk membuat keputusannya.

Dalam laporan sebelum ini, syarikat induk MAB, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), telah memaklumkan syarikat pemiutang dan pemajak bahawa Khazanah akan menghentikan penyaluran dana ke dalam kumpulan itu dan menutup operasi syarikat penerbangan itu sekiranya langkah penyusunan semula hutang tersebut terbukti gagal.

Setakat ini, Malaysia Airlines masih mengekalkan khidmat lebih 12,000 kakitangannya dan telah melaksanakan tindakan potongan gaji pada Mac lepas.

Jumlah pekerja itu kekal bertahan walaupun dalam persekitaran Covid-19 yang tidak dijangkakan dan menyaksikan syarikat penerbangan berkenaan mengambil beberapa langkah termasuk mengenakan potongan gaji, cuti tanpa gaji secara sukarela dan tidak memperbaharui khidmat pekerja kontrak.

Menurut laporan, jika pelan penstrukturan semula membabitkan hutang bernilai RM16 bilion itu gagal, kumpulan penerbangan itu akan mempertimbang pelaksanaan Pelan B iaitu menyuntik dana ke dalam Firefly - syarikat penerbangan tambang rendah yang dimiliki sepenuhnya oleh MAG.

Firefly yang mengendalikan 12 pesawat enjin 'turboprop' yang beroperasi kebanyakannya dalam negara, akan menjadi syarikat penerbangan nasional jika Khazanah meneruskan pelan tersebut.

Langkah menceburi segmen tambang rendah ini dilihat memberi lebih banyak peluang untuk Khazanah dalam pasaran berikutan kesukaran meneruskan kelangsungan dalam segmen premium ketika MAB bergelut melunaskan pembayaran kepada pihak pemiutang dan pemajak.

Sumber: Harian Metro

 

Destination: 
Artikel berkaitan