MATTA Fair Ditangguhkan Daripada Mac Ke Mei Akibat Koronavirus

TERKINI
February 11, 2020 - 03:00 PM


Suka atau tidak, hakikatnya kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 sedikit sebanyak turut terjejas dengan penularan wabak Koronavirus.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini mengesahkan sebanyak 95,000 tempahan hotel telah dibatalkan, dengan anggaran kerugian berjumlah RM40 juta.

Bukan itu sahaja, malah pameran tahunan MATTA juga di Kuala Lumpur yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Mac turut ditangguhkan kepada 1 hingga 3 Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Perubahan tarikh pameran tersebut dilakukan berikutan krisis Koronavirus hingga mengakibatkan trend tempahan awal oleh pelanggan berubah dan mereka lebih memilih untuk melambatkan pelan perjalanan sehingga keadaan semasa global kembali normal.

Pihak MATTA ketika ini sedang bekerja keras dengan rakan industri untuk menawarkan pelbagai inisiatif menarik yang memenuhi citarasa rakyat Malaysia untuk melancong walaupun dalam tempoh sukar ini.

Lebih 200 peserta pameran, daripada organisasi pelancongan dalam negara, pejabat pelancongan negeri, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, taman tema, laluan pelayaran dan hotel telah mendaftarkan penyertaan mereka dalam pameran MATTA.

MATTA optimis bahawa industri travel adalah sangat berdaya tahan memandangkan rakyat Malaysia amat sukakan cabaran dan tidak akan berhenti melancong.

Sumber: The Star

Destination: