Nak Bercuti Ke Mutiara Borneo? Pilih Je 'Pakej Percutian Terbaik Labuan 2020'!

TERKINI
February 10, 2020 - 01:29 PM


Korang pernah tak menjejakkan kaki ke Labuan?

Mesti korang tertanya-tanya apa menariknya Labuan kalau nak bercuti ke sana kan? 

Tetapi jangan terkejut bahawa sebenarnya Labuan mempunyai banyak destinasi menarik yang boleh korang kunjungi dan pelbagai aktiviti best untuk dilakukan bersama yang tersayang tak kiralah ahli keluarga atau rakan-rakan.

Min sendiri pun tahun lepas berpeluang bercuti ke Labuan dan ia merupakan salah satu momen percutian paling manis dalam hidup min.

Jadi kalau korang yang baru pertama kali nak bercuti ke 'Mutiara Borneo' itu, korang dah tak perlu pening-pening tentang segala maklumat, itineari atau aktiviti -- sebab korang pilih saja menerusi "Pakej Percutian Terbaik Labuan 2020" yang baru sahaja dilancarkan.

Terdapat sekurang-kurangnya 50 pakej pelancongan dengan pelbagai aktiviti, telah disenarai dan disediakan oleh 15 ejen pelancongan serta pengusaha produk di Labuan untuk menarik pelancong bercuti di Labuan.

Pakej itu termasuk yang ditawarkan oleh pengendali hotel dan resort, pakej percutian pulau dengan aktiviti snorkeling, sukan laut dan rekreasi serta percutian di inap desa Labuan di Kg Buki Kuda, perkampungan atas air, Kg Patau-Patau II dan Sg Labu.

Lebih menarik, aktiviti memancing laut dalam yang dinamakan ‘Jelajah Hari Memancing Labuan’ di Vernon Bank yang belum diteroka sepenuhnya juga menanti untuk pelancong yang juga merupakan kaki pancing.

Malah, ada juga aktiviti 'rare' yang boleh dilakukan di pulau bebas cukai iaitu menyelam ke kapal yang karam semasa Perang Dunia Kedua dan melihat sendiri keindahan pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang jarang ditemui.

Bukan itu sahaja, malah Kelab Golf Antarabangsa Labuan (LIGC), padang golf 18-lubang yang telah digunakan sebagai tempat latihan bagi pemain golf profesional Korea juga turut ditawarkan sebagai antara produk pelancongan dalam pakej berkenaan.

Menarik, kan? Korang tinggal pilih je pakej apa yang berkenan di hati mengikut bajet masing-masing.

Segala maklumat mengenai Labuan korang boleh dapatkan menerusi laman web rasmi Perbadanan Labuan di (www.pl.gov.my) dan www.labuantourism.my.

Sumber: Bernama

Destination: