Pasport Malaysia Ke-13 Paling Berkuasa Di Dunia, Pada 2020!

TERKINI
January 08, 2020 - 04:39 PM


Pasport Malaysia menduduki tempat ke-13 yang paling "berkuasa" di dunia apabila pemegangnya mempunyai akses tanpa visa ke 178 negara.

Walaupun ranking Malaysia pada 2020 menurun satu anak tangga berbanding tahun lepas, namun menurut Indeks Pasport Henley dan Laporan Mobiliti Global, ia masih merupakan antara 4 negara teratas di Asia yang memegang "kuasa pasport".

Tiga negara Asia lain iaitu Jepun, Singapura dan Korea Selatan masing-masing menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga di Indeks Global.

Jepun telah memperoleh kedudukan tertinggi selama 3 tahun berturut-turut, memandangkan pemegang pasportnya mempunyai akses kepada 191 negara tanpa perlu memohon visa terdahulu.

Manakala Singapura dengan 190 negara dan Korea Selatan pada kedudukan ketiga bersama Jerman dengan 189 negara.

Pasport Jepun berjaya menewaskan Singapura kerana ia menerima visa atas akses ketibaan ke Arab Saudi, yang tidak diterima oleh Singapura.

Sementara itu, Amerika Syarikat dan United Kingdom kedua-duanya berada di kedudukan ke-8.

China dan India masing-masing menduduki kedudukan ke 72 dan 84. Pemegang pasport China boleh mengakses ke 71 negara tanpa perlu memohon visa terdahulu, sementara India hanya mempunyai akses ke 58 negara.

Afghanistan kekal di bahagian paling bawah indeks, kerana warganegara itu hanya boleh melawat sebanyak 26 destinasi sahaja tanpa visa.

Indeks Pasport Henley dan Laporan Mobiliti Global merupakan penentu ukur 'kekuasaan' pasport di seluruh dunia mengikut berapa banyak bilangan destinasi yang boleh diakses tanpa visa.

Kedudukan itu adalah berdasarkan data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Senarai 13 Negara Yang Mempunyai Pasport Paling Power Di Dunia Pada 2020 :-

1) Jepun (191)

2) Singapura (190)

3) Korea Selatan & Jerman (189)

4) Itali & Finland (188)

5) Sepanyol, Luxembourg, Denmark (187)

6) Sweden & Perancis (186)

7) Switzerland, Portugal, Belanda, Ireland, Austria (185)

8) Amerika Syarikat, United Kingdom, Norway, Greece, Belgium (184)

9) New Zealand, Malta, Republik Czech, Kanada, Australia (183)

10) Slovakia, Lithuania, Hungary (181)

11) Slovenia, Latvia, Iceland (180)

12) Estonia (179)

13) Malaysia, Liechtenstein (178)

Sumber: Indeks Pasport Henley dan Laporan Mobiliti Global

Destination: