Planetarium Melaka Bakal Dijenamakan Semula Menjadi Pusat Setempat Pelancongan Negeri

PANAS
January 02, 2020 - 01:18 PM


Melaka bakal mempunyai Pusat Setempat Pelancongan Melaka yang menyediakan kemudahan kepada pelancong untuk membeli baucar penginapan, pengangkutan, produk dan makanan negeri ini serta segala urusan berkaitan pelancongan.

Ia akan dibangunkan di Bangunan Planetarium di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Bangunan tersebut bakal dinaik taraf dan dibangunkan semula menjadi Pusat Setempat Pelancongan Melaka bermula pertengahan bulan ini dan dijangka siap menjelang Disember depan.

Projek naik taraf Planetarium itu melibatkan pembinaan bangunan tiga tingkat dengan hanya mengekalkan struktur pada terminal dan kubah selain turut dicadang dijenamakan semula dengan Science and Galaxy World Melaka.

Malah setelah projek tersebut siap, ia akan menjadi bangunan portfolio pelancongan Melaka di mana semua agensi pelancongan berkaitan dipindahkan, antaranya Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Melaka Heritage.

Sementara itu, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 Melaka menyasarkan kehadiran 20 juta pelancong dan jumlah kedatangan pengunjung melalui pintu udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam juga mencatatkan bilangan memberangsangkan iaitu kira-kira 117,000 orang dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lepas berbanding 52,000 pada tahun 2018.

Sumber: Bernama

 

Destination: 
;