Risau Nak Pergi Klinik Masa COVID-19 Ni? Guna Je 'Online Appointment' dan ‘Webinar for COVID-19’

TERKINI
April 02, 2020 - 12:43 PM


Anda kurang sihat atau ingin membuat janji temu dengan doktor di klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Sekarang anda dah tak perlu risau untuk menjaga jarak selamat bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19 atau bimbang terpaksa beratur panjang dan lama di klinik kerana KKM telah menyediakan inisiatif sistem ‘Online Appointment’ serta ‘Webinar for COVID-19’.

Sistem ‘Online Appointment’ merupakan kolaborasi antara KKM dan 4 syarikat utama iaitu Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan Doctoroncall -- melalui inisiatif ini pelanggan boleh memilih slot waktu janji temu untuk datang ke klinik kesihatan KKM bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Slot bagi sistem Online Appointment akan dibuka dari pukul 8.30 pagi sehingga 4.30 petang dan senarai klinik kesihatan terlibat boleh dirujuk melalui portal KKM.

Sementara itu, bagi ‘Webinar for COVID-19’ pula merupakan satu kolaborasi antara BookDoc dan KKM untuk menyalurkan informasi kesihatan yang tepat dan terkini berkaitan dengan COVID-19. 

“Bagi Webinar, ia adalah saluran alternatif untuk orang awam, yang mana ia melibatkan sesi soal jawab secara ‘web-based’ bersama pakar perubatan kesihatan awam dan pegawai perubatan KKM serta pegawai dalam kategori-kategori lain seperti Dietetik,” menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam posting Facebooknya.

Waktu Webinar pula adalah dari pukul 2.00 hingga 2.30 petang pada hari Isnin hingga Jumaat. Webinar ini boleh ditonton melalui sesawang webinar.bookdoc.com.

Kedua-dua inisiatif baharu ini dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan.

“Inisiatif-inisiatif ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada semua syarikat terlibat untuk tempoh tiga bulan dan orang awam boleh mendapatkan maklumat berkaitan melalui portal KKM (moh.gov.my) dan syarikat masing-masing,” menurutnya.

Sumber: Bernama

Destination: